Saturday, November 26, 2011

MELAKA KEJUTKAN KELANTAN

Pemain Kelantan, Norhamizi Haron (kanan) bijak mengawal bola biarpun cuba dicabar  oleh pemain Melaka, Zailan Mohamad dalam  perlawanan yang menyaksikan Melaka mengatasi Kelantan 3-0 di Padang Penjara, petang semalam.

KELANTAN 0

MELAKA 3
Mohd Fauzi Abdul Kadar (m-43)
Mohd Nazmee Ari (m-73)
Zailan Mohamad (pen m-83)

KOTA BHARU – Juara bertahan, Kelantan menerima tamparan hebat setelah tewas mengejut 0-3 kepada Melaka dalam perlawanan pertama Kejohanan Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-71 peringkat kumpulan D yang berlangsung di Padang Penjara, Pengkalan Chepa petang semalam.

Beraksi dihadapan hampir 300 penyokong sendiri, pasukan Kelantan gagal menggunakan kesempatan tersebut sebaliknya terpaksa akur dengan kehebatan barisan pemain muda pasukan bimbingan G Torairaju yang mempamerkan persembahan bertenaga terutamanya pada babak kedua perlawanan tersebut.

Pasukan kendalian Afandi Yusoff seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila jentera bahagian depan mensia-siakan banyak peluang terhidang terutamanya menerusi rembatan Mohd Farhan Yaakub yang sedikit tersasar pada m-24 sementara rembatan kencang Khairul Annuar Ramli pada m-39 pula jauh tersasar.

Gol pertama pasukan Melaka dijaringkan oleh Mohd Fauzi Abdul Kadar yang merembat kencang di dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol Kelantan, Judtanna Eh Put dua minit sebelum babak pertama berakhir.

Bersambung babak kedua, pasukan Kelantan melakukan dua pertukaran serentak dengan memasukkan Mohd Azhan Ismail dan Khairan Eroza Razali namun itu tidak banyak membantu merencana gerakan merbahaya.

Sebaliknya pasukan Melaka yang dilihat mendominasi pada babak kedua terus mengukuhkan kedudukan apabila berjaya menjaringkan gol kedua menerusi rembatan deras Mohd Nazmee Ari dari luar kotak penalti pada m-73 perlawanan.

Kesilapan pemain pertahanan Kelantan, Hafizi Awang menjatuhkan S Harivarman di dalam kotak penalti pada m-83 mengundang padah apabila pengadil, Shukri Nor tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada pasukan pelawat. Pemain tengahn, Zailan Mohamad mudah menyempurnakan sepakan tersebut untuk gol ketiga pasukannya.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan, pasukan Perlis turut melakarkan kemenangan pertama setelah mudah membenam cabaran pasukan Kuala Lumpur menerusi kemenangan 4-0 untuk menerajui kumpulan D.

Perlawanan kedua kumpulan D hari ini menyaksikan Melaka akan bertemu Perlis pada jam tiga petang sementara Kelantan akan berhadapan Kuala Lumpur pada jam lima petang. Kedua-dua perlawanan berlangsung di Padang Penjara, Pengkalan Chepa.

No comments:

Post a Comment