Monday, November 21, 2011

KAFA KENA CARI IKHITAR LAIN - ANNUAR


KOTA BHARU – “Kita ada Kerajaan Negeri dan kita kena minta bantuan, kalau tidak bagi saya redha“ demikian reaksi balas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengenai hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk membantu pihaknya tetapi dengan bersyarat.

Annuar berkata, beliau tidak mahu memberikan komen berlebihan mengenai keputusan Kerajaan Negeri itu takut sekiranya menjadi satu polimek baru yang akhirnya menjadi isu politik yang tidak menemui titik penyelesaiannya.

“Saya hanya berminat untuk menguruskan bola sepak. Sebagai badan bukan kerajaan (NGO), kita mesti kena buat permohonan (bantuan) dan sama ada Kerajaan Negeri hendak bagi atau tidak itu hak mereka.

“Saya telah menunaikan tanggungjawab saya dan begitu juga pemain. Sama ada dibantu atau tidak, saya kena buat kerja saya. Tugas saya hanya meminta dan sebagai rakyat Kelantan yang menerajui persatuan sukan di negeri ini, saya kena minta bantuan.

“Kalau tak nak bagi, kita terpaksa ikhtiar cara lain. Memang sudah tiga tahun kita minta tapi tak dapat apa-apa. Dengan Kerajaan Negeri kita minta dan dengan Kerajaan Pusat pun kita minta juga. Kita tak nak gaduh dan saya redha kalau tak bagi (bantuan).

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media mengumumkan barisan pemain skuad Liga-M Kelantan musim 2012 di Kafe The Red Warriors, di sini, dua hari lalu.

Mengenai saranan Kerajaan Negeri yang meminta pihaknya membentangkan laporan kewangan, Annuar menjelaskan, beliau bersedia menyerah laporan tersebut sekiranya diminta berbuat demikian.

“Soal penyata dan laporan kewangan mereka boleh tengok pada bila-bila masa. Penyata tahunan Kafa sememangnya dibentangkan setiap kali mesyuarat agung (AGM) pihaknya. Ini terbuka kepada semua ahli majlis (melihatnya) termasuk Abdul Fattah (Mahmood) sendiri selaku ahli majlis Kafa.

Mengulas mengenai perbelanjaan pihaknya bagi menguruskan pasukan bola sepak pada musim depan, Annuar menjangkakan perbelanjaan pengurusan akan meningkat sehingga 35 peratus berbanding musim ini.

“Itu hanya anggaran kasar kita berdasarkan jumlah kutipan tiket yang kita sasarkan tetapi mungkin anggaran kita tidak tepat. Gaji pemain import bukannya sedikit, kita juga kena sediakan rumah dan kereta kepada mereka. Sesetengah pemain import ada yang mencecah sehingga RM100,000 sebulan. Malah untuk menandatangani kontrak pemain import pada masa sekarang pun kita kena ada duit tunai.

Sementara itu, Annuar juga turut menyatakan pasukan bola sepak Kelantan mungkin terpaksa beraksi di gelanggang luar bagi Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sekiranya Stadium Sultan Muhammad IV gagal mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kita dah beri maklumat awal tentang syarat-syarat yang di tetapkan oleh AFC tetapi setakat belum ada tanda kerja-kerja menaik taraf stadium dilakukan. Seboleh-bolehnya kita hendak bermain di Kota Bharu tetapi kalau tidak boleh kita terpaksa sewa stadium lain tetapi itu merupakan pilihan terakhir kita,” katanya.

No comments:

Post a Comment