Mohd Hashim (duduk atas, dua kanan) dan Mohd Yusri (sebelahnya) memerhatikan pemain yang menjalani sesi pemilihan terbuka skuad Piala Presiden Kelantan untuk musim depan di Kubang Kerian, semalam.
KOTA BHARU – Hampir 250 pemain menyertai sesi pemilihan terbuka bagi mencuba nasib untuk menyertai skuad Piala Presiden Kelantan musim 2012 yang berlangsung di Padang C, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, semalam.
Sesi pemilihan selama tiga hari bermula semalam itu dikendalikan oleh Ketua Jurulatih yang baru, Mohd Hashim Mustapha sambil dibantu penolongnya, Mohd Nafuzi Zain dan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Abdullah Mohamad.
Penolong Pengurus Pasukan, Mohammad Yusri Ismail ketika ditemui terkejut dengan sambutan luar biasa dengan kehadiran pemain-pemain muda dari seluruh negeri yang menyertai sesi pemilihan tersebut.
“Hari pertama sahaja sudah mencecah hampir 250 orang. Saya menjangkakan lebih ramai lagi akan menyertai sesi pemilihan ini pada esok dan lusa (hari terakhir). Namun ini merupakan satu perkembangan yang menarik apabila ramai yang berminat untuk mencuba nasib untuk menyertai pasukan ini.
“Berdasarkan sambutan ini, saya melihat ramai anak-anak muda berbakat di negeri ini mahu terlibat lebih serius dalam sukan bola sepak. Apa yang dicetuskan hasil kecemerlangan pasukan bola sepak Kelantan menjadi inspirasi kepada pemain-pemain muda ini.
“Kita akan membentuk sebuah pasukan yang mantap berdasarkan mandat yang diberikan oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa yang mahukan pasukan ini mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim ini,” katanya.
Menurut Mohd Yusri, berbanding musim lalu, pihaknya kali ini melakukan persiapan lebih awal seiring dengan persiapan yang dilakukan oleh pasukan Liga Super Kelantan bagi menghadapi saingan liga yang dijangka bermula awal Januari tahun depan.
Sementara itu, Mohd Hashim juga turut terkejut dengan kehadiran ramai pemain yang ingin mecuba nasib dalam sesi pemilihan tersebut.
Sebahagian daripada pemain yang hadir menyertai sesi pemilihan terbuka skuad Piala Presiden KelantanPadang C, HUSM, Kubang Kerian, semalam. untuk musim depan di
“Saya perhatikan ramai yang hadir sesi pemilihan ini terdiri daripada pemain yang berumur antara 17 hingga 19 tahun. Mereka cukup berbakat, masih muda dan sekiranya tidak terpilih dalam sesi pemilihannya ini jangan pula rasa kecewa.
“Sesi pemilihan ini berjalan dengan lancar. Saya memberikan 30 minit kepada setiap pemain untuk membuktikan kehebatan mereka masing-masing diatas padang. Saya dan panel kejurulatihan perlu lebih teliti dalam mengenal pasti pemain yang betul-betul berbakat untuk dipilih bagi menyertai ujian saringan pula selepas ini.
Sesi pemilihan terbuka skuad Piala Presiden Kelantan diteruskan pada hari ini ditempat yang sama bermula jam empat petang.
No comments:
Post a Comment