Tuesday, September 27, 2011

TAK KISAH JUMPA SIAPA - KARATHU

KARATHU

KOTA BHARU – ‘Tak kisahlah Terengganu ataupun Negeri Sembilan’ Begitulah komen spontan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu ketika ditanya mengenai lawan yang bakal berhadapan dengan Kelantan dalam saingan suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini.

Mengakui kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan yang tersendiri, pengendali berusia 68 tahun itu jelas tidak mahu berlebih-lebihan memikirkan mengenai pasukan lawan yang bakal dihadapi sebaliknya lebih berminat untuk memberi tumpuan kepada persiapan pasukannya menghadapi KL Felda United FC pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan malam ini.

“Apabila berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik, kita dikategorikan antara pasukan yang terbaik. Bagi saya, dalam saingan kalah mati ini semua pasukan mempunyai kekuatan yang seimbang. Kalau kata Terengganu, Negeri Sembilan pasukan yang kuat, kita juga kuat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Apabila sampai ke peringkat ini, suka atau tidak kita kena hadapi mana-mana pasukan. Namun fokus awal saya sudah pasti terarah kepada pertemuan menentang KL Felda United FC malam ini. Kita tetap akan menurunkan barisan terkuat walaupun beberapa pemain utama terpaksa diketepikan.

“Soal siapa juara atau naib juara kumpulan itu bukan persoalan yang saya perlu fikirkan. Kita akan turun main macam biasa dan buru kemenangan. Memang saya akan buat sedikit rombakan namun saya percaya dengan kebolehan pemain simpanan yang bakal diturunkan malam ini,” katanya.

Perkhabaran kurang menarik menjelma setelah dua tonggak, S Chanturu dan Khairul Fahmi Che Mat berada dalam senarai pemain yang mengalami kecederaan, malah Karathu terus pening kepala apabila terpaksa melepaskan S Subramaniam yang bergegas pulang ke kampung halamannya di Tanjung Malim, Perak kerana emak saudaranya meninggal dunia, semalam.

Pemain Kelantan giat menjalani latihan bagi menghadapi KL Felda United FC, malam ini

“Apex (Khairul Fahmi Che Mat) akan direhatkan malam ini setelah dia mengalami kecederaan ketika bertemu Johor FC tempohari. Malah saya kini dalam congakan untuk merehatkan dua pemain, Mohd Daudsu (Jamaluddin) dan Mohd Nurul Azwan (Roya) yang mengutip dua kad kuning setakat ini.

“Kalau mereka beraksi dan dapat kad kuning lagi, mereka akan terlepas (digantung satu perlawanan) aksi suku akhir. Saya tidak mahu situasi buruk itu menimpa pasukan kita disaat kita memerlukan khidmat mereka. Mereka mungkin berada di bangku simpanan malam ini.

“Tidak ada masalah untuk saya menyenaraikan pemain simpanan pun kerana kita mempunyai 25 pemain dalam pasukan ini. Kita bagi peluang dan mereka perlu rebut peluang itu kerana inilah masa untuk mereka membuktikan kemampuan masing-masing,” katanya.

No comments:

Post a Comment