Mohd Shakir dan isterinya jelas begitu teruja dengan kehadiran 'orang baru' dalam kehidupan mereka ketika ini.
KOTA BHARU – Kempen Piala Malaysia kali ini begitu bermakna bagi perancang tengah skuad The Red Warriors, Mohd Shakir Shaari apabila menerima ‘orang baru’ dalam keluarganya tiga hari lalu.
Kira-kira lapan jam sebelum sepak mula pertemuan Kelantan menentang Johor FC pada Sabtu lalu, Mohd Shakir sah bergelar menjadi bapa apabila isterinya, Nurul Fatiha Abdul Hamid selamat melahirkan bayi lelaki.
Bayi lelaki yang belum dinamakan dan seberat 2.7 kilogram itu dilahirkan secara normal oleh isteri beliau tepat jam 1.03 tengahari di Pusat Perubatan Kota Bharu (KBMC), Lundang, dekat sini.
Bergelar bapa pada usia 25 tahun, Mohd Shakir yang kini memikul tugasan bersama skuad The Red Warriors dalam kempen Piala Malaysia ketika ini tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira diatas kehadiran ‘orang baru’ dalam kehidupannya.
“Alhamdulilah, saya bersyukur kepada Allah kerana isteri saya dapat melahirkan secara normal dan tanpa sebarang masalah. Asalnya isteri saya dijangka bersalin pada 14 September tapi tak sangka pula awal empat hari daripada tarikh tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
“Rasa tak percaya pun ada ketika ini apabila sudah bergelar bapa. Kehadiran cahaya mata ini melengkapkan kehidupan kami. Malah kehadiran orang baru ini sudah pasti menjadikan kehidupan saya lebih bermakna selepas ini.
“Walaupun sesibuk mana sekalipun tugasan bersama skuad Kelantan, namun tumpuan kepada keluarga terutamanya dengan kehadiran cahaya mata ini tetap saya utamakan. Kehadiran cahaya mata ini bererti tanggungjawab lebih perlu saya pikul selepas ini,” katanya secara berseloroh.
Mula mendirikan rumahtangga pada 9 Disember tahun lalu, Mohd Shakir berkata, keputusan isterinya untuk bersalin di Kota Bharu dibuat atas kehendak isterinya sendiri yang mahukan beliau berada disisinya ketika meraikan detik menyambut kelahiran cahaya mata baru tersebut.
“Memandangkan sebelum ini kami terpaksa berjauhan, maka isteri saya memutuskan untuk bersalin di sini supaya saya ada disisi dia. Buat masa sekarang isteri saya akan berpantang disini (Kota Bharu) sebelum kembali ke rumah keluarganya di Puchong.
“Insya Allah, saya sudah berbincang dengan isteri dan saya akan membahagikan masa dengan sebaik-baiknya. Kalau ada cuti terluang saya akan balik ke sana menjenguk orang baru ini.
“Masing-masing terikat dengan komitmen kerja. Saya di sini mewakili Kelantan sementara isteri saya pula terikat dengan kerjaya dia sebagai jurulatih gimnastik pelapis di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil. Jadi kami kena pandai-pandailah membahagikan masa,” katanya.
tahniah syakir.
ReplyDeletehadiahkan piala malaysia untuk baby comel ini.