Mohd Shahrizan bakal diberi tugas menjaga gawang Kelantan apabila menentang Sarawak, malam ini
KOTA BHARU – Biarpun hanya beraksi 270 minit dalam penampilan Liga Super dan Piala FA musim ini, namun penjaga gol berpengalaman Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail sudah bersedia sepenuhnya untuk kembali menggalas tanggungjawab apabila diturunkan dalam pertemuan pertama kempen Piala Malaysia menentang Sarawak, malam ini.
Mohd Shahrizan atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Chah kini dilihat menjadi sandaran utama skuad The Red Warriors setelah usaha Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk mendapatkan khidmat Khairul Fahmi Che Mat bagi kempen empat perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia musim ini menemui jalan buntu.
“Memang musim ini saya lebih banyak memanaskan bangku simpanan. Hanya diberi peluang beraksi dalam tiga perlawanan iaitu menentang Terengganu dan Perak dalam Liga Super dan Johor FC dalam saingan Piala FA. Namun perkara itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk membantu negeri kelahiran sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
“Peluang mungkin datang sekali dan saya harus menggunakan kesempatan ini sebaik mungkin. Saya tidak mempunyai masalah malah bersedia diturunkan jika terpilih berada dalam kesebelasan utama pasukan menentang Sarawak malam esok (ini).
“Semua ini menjadi motivasi kepada saya untuk menunjukkan persembahan cemerlang dalam perlawanan akan datang. Malah, lima perlawanan persahabatan yang ditempuhi sebelum ini memberikan keyakinan yang lebih kepada saya untuk memastikan pintu gol Kelantan tidak dibocori,” katanya.
Melihat aksi cemerlangnya dalam empat daripada lima perlawanan persahabatan pra Piala Malaysia sepanjang bulan lalu, memungkinkan penjaga gol berusia 32 tahun kini menjadi pilihan utama Ketua Jurulatih, Datuk M Karathu namun Mohd Shahrizan enggan terlalu dibuai dengan keyakinan yang berlebihan.
“Saya tidak mahu terlalu ghairah atau berasa selesa kerana kita masih ada Mohd Halim (Napi), Judtanna (Eh Put) dan Muhammad Syazwan (Yusoff) diposisi penjaga gol. Semuanya bergantung kepada penilaian jurulatih siapa yang akan diturunkan nanti.
Namun saya berjanji sekiranya diberi peluang, saya akan berikan persembahan terbaik. Sekalipun ketiadaan Khairul Fahmi (Che Mat), saya masih perlu bekerja keras untuk membuktikan sentuhan saya masih lagi berbisa,” katanya.
Sementara itu, penyerang pinjaman dari Pahang, Azammuddin Mohd Akil turut melaungkan keyakinan betapa ‘pasukan barunya’ kini cukup bersedia mengharungi saingan getir mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia sekali lagi.
“Kombinasi saya bersama Norshahrul Idlan (Talaha) serta rakan sepasukan yang lain semakin menampakkan keserasian. Empat gol yang dijaringkan daripada lima persahabatan lalu membuktikan saya sudah bersedia membantu Kelantan memenangi kejuaraan Piala Malaysia sekali lagi,” katanya.
go mat chah go
ReplyDelete