Monday, September 5, 2011

SAYA MAHU PIALA MALAYSIA - KARATHU

M KARATHU


 PIALA MALAYSIA

Tidak lengkap kerjaya seseorang jurulatih tanpa memenangi piala paling berprestij bola speak tempatan iaitu Piala Malaysia. Inilah yang cuba dilakukan oleh pengendali pasukan Datuk M Karathu setelah usaha pertama beliau pada tahun 1993 bersama pasukan Kelantan berakhir dengan kegagalan.

Setelah berjaya membawa Kelantan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah, diikuti Piala Liga Super, ada misi terpendam oleh jurulatih yang berasal dari Ipoh, Perak ini rentetan kegagalannya membawa Kelantan menjulang Piala FA angkara kekalahan kepada Terengganu dalam perlawanan akhir pada Jun lalu.

Fokusnya hanya satu, betapa Piala Malaysia tidak sewenang-wenangnya bertukar pemilik baru pada musim ini. Tinggi menggunung harapan penyokong setia Kelantan tinggi lagi harapan beliau untuk melihat piala itu kekal tersimpan di bumi Negeri Cik Siti Wan Kembang untuk kali kedua.

Malah sekiranya berjaya, Datuk M Karathu mungkin dianggap sebagai satu-satunya jurulatih luar yang paling berjaya membimbing skuad The Red Warriors sejak berpuluh tahun lalu. Wartawan Sukan Sinar Harian, Mazram Idzam Ridzal Mahmud berpeluang menyelami isihati jurulatih berusia 68 tahun itu bagi menghadapi kempen Piala Malaysia yang akan bermula 6 September ini.

Sinar Harian : Macamana persiapan pasukan Kelantan bagi menghadapi kempen Piala Malaysia musim ini?

Karathu : Persiapan Kelantan setakat ini berjalan dengan lancar. Walaupun latihan dijalankan dalam bulan Ramadan dan para pemain menghadapi sedikit masalah menyesuaikan diri namun kita berjaya mengatasinya dengan baik. Saya sentiasa tekankan tahap kecergasan pemain perlu mencapai tahap seperti yang saya kehendaki.

Sebab itu anda akan lihat dalam sesi latihan yang saya kendalikan, satu jam pemain akan berlatih dengan bola dan selebihnya pemain melakukan kecergasan. Anda boleh lihat corak permainan kita jauh berbeza daripada pasukan yang lain. Kita mempunyai corak permainan yang tersendiri. Ini yang kita mahukan dalam bola sepak Malaysia.
Karathu mahu pemainnya sentiasa fokus dalam perlawanan kempen Piala Malaysia musim ini

SH : Lima perlawanan persahabatan yang diharungi kesemuanya berakhir dengan kemenangan. Apa komen Datuk ?

K : Saya ambil serius setiap perlawanan perlawanan persahabatan yang kita hadapi. Kita menang 1-0 ke atas Kuala Lumpur, Selangor (5-0), PDRM (1-0) , T-Team (3-1) dan Songkla FC (mendahului 1-0, perlawanan ditangguhkan kerana masalah lampu limpah). Saya puas hati dengan komitmen semua pemain termasuk juga pemain simpanan.

Macam sekarang, kita kehilangan khidmat Zairul Fitree (Ishak), Khairul Fahmi (Che Mat) dan Muhammad Izuan (Salahuddin) tetapi pemain-pemain simpanan yang ada menunjukkan persembahan yang bagus. Macam Solehin (Kanasian Abdullah) dia sudah lama tidak bermain tetapi persembahannya yang tidak mengecewakan saya. 

Kemenangan ini memberikan keyakinan kepada semua pemain untuk kita mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu.

SH : Boleh Datuk komen prestasi dua pemain pinjaman dari Pahang, Azammuddin Mohd Akil dan R Surendran yang menyertai skuad kita ?

K : Azammuddin menunjukkan prestasi yang bagus dan berjaya membentuk satu kombinasi yang mantap bersama Norshahrul Idlan Talaha, Muhd Badhri Radzi dan rakan-rakan yang lain. Saya fikir dia sudah dapat menyesuaikan diri dengan pasukan.

Ini satu perkembangan yang baik bagi pasukan kita. Memang saya mencuba menggunakan seorang penyerang dalam perlawanan persahabatan lalu dan saya lihat Azammuddin berupaya membantu Norshahrul Idlan (Talaha) dalam perlawanan tersebut.

Surendran pula mengalami kecederaan retak buku lali dan mungkin terlepas peluang beraksi kerana perlu berehat selama tiga minggu.

SH : Diundi satu kumpulan bersama Johor FC, KL Felda United FC dan Sarawak. Ramai yang mengganggap Kelantan mempunyai laluan selesa mara ke saingan suku akhir. Mungkin Datuk mempunyai pandangan sebaliknya ?

K : Kita perlu ingat pertandingan Piala Malaysia ini berbeza seperti saingan Liga Super. Setiap pasukan berwajah baru dan bermula dengan kosong dan kita pun tidak terkecuali. Ini merupakan perlawanan pertama (bertemu Sarawak) dan kita tidak boleh ambil mudah.

Memang kita sudah banyak kali bermain dengan Johor FC dan KL Felda United FC musim ini. Tetapi kali ini mereka pun ada pemain-pemain baru. Pasukan Sarawak kita tidak pernah bertemu dan kita tidak tahu sejauh mana keupayaan mereka.

Namun bukan itu perkara yang perlu kita fikirkan. Apa yang penting semua pemain perlu mempunyai tahap keyakinan yang tinggi. Kita perlu menghormati semua pasukan dalam kumpulan kita. Kita ada enam perlawanan peringkat kumpulan yang perlu dilalui dan kalau kita mahu bergelar juara kita kena tunjukkan prestasi yang terbaik. 

Imbas kembali pada tahun 1993....Karathu berjaya memimpin Kelantan berjaya mara ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia tahun tersebut. 

SH : Mempertahankan kejuaraan lebih sukar daripada memburu kejuaraan. Apakah Datuk mula merasai tekanan menghadapi situasi tersebut?

K : Kita adalah juara bertahan dan kita perlu yakin terhadap kemampuan pasukan kita sendiri. Saya akui memang sukar mempertahankan kejuaraan daripada memburu kejuaraan. Semua pasukan akan bermain mati-matian

Tekanan itu merupakan perkara biasa dan sentiasa ada dalam mana-mana perlawanan. Bukan saya seorang yang berhadapan tekanan tetapi para pemain pun sama. Penyokong sentiasa mengharapkan kita untuk menang.

Apabila kita sudah mendapat dua piala bermakna bertambahlah lagi tekanan. Kita perlu menyerap tekanan tersebut dan sasaran kita ialah hendak masuk final Piala Malaysia musim ini.

SH :  18 tahun dulu Datuk pernah mengemudi Kelantan mara ke separuh akhir Piala Malaysia dan Piala FA. Namun situasi hari ini cukup berbeza dan peminat sentiasa membandingkan kejayaan lampau seseorang jurulatih yang melatih pasukan ini?

K : Saya seronok sebab kita berjaya (menang Piala Liga Super dan Piala Sultan Ahmad Shah). Saya dikelilingi pegawai, pemain dan peminat setia yang masih percaya saya boleh berbuat sesuatu untuk pasukan Kelantan.

Memang zaman 18 tahun dulu cukup berbeza dengan sekarang. Dulu kita ada pemain tempatan dan pemain import tetapi hari ini kita hanya menggunakan pemain tempatan sahaja. Tetapi anda harus lihat berapa ramai pemain Kelantan yang dipanggil menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sekarang.

Saya fikir ini merupakan satu perkembangan yang positif terhadap bola sepak Kelantan. Kita mempunyai ramai pemain muda berbakat seperti Muhammad Izuan (Salahuddin) selain Mohamad Aris (Zaidi) Nik Mohd Shahrul Azim (Ab Halim). Mereka berbakat tetapi belum cukup matang dan perlu didedahkan kepada banyak perlawanan.

SH : Datuk yakin Kelantan boleh mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia ?

K : Saya hanya mahu menang Piala Malaysia. Kita sudah bersedia seratus peratus mempertahankan kejuaraan yang kita menangi musim lalu.

No comments:

Post a Comment