Mohd Nurul Azwan (kanan) perlu lebih agresif mencongak jentera tengah Kelantan dalam aksi pertemuan menentang Felda United FC, malam ini.
KOTA BHARU - Empat kali pertemuan dengan tiga daripadanya berakhir dengan kemenangan dan seri sekali berpihak kepada Kelantan sepanjang pertembungan dengan KL Felda United FC sepanjang musim ini bukan lagi jaminan mutlak bagi anak buah Datuk M Karathu untuk mendabik dada dalam saingan kempen Piala Malaysia musim ini.
Lawan yang menanti malam ini, pasukan KL Felda United FC bukanlah calang-calang pasukan yang mudah ditewaskan apatah lagi skuad kendalian E Elavarasan kini menampakkan kebangkitan luar biasa dengan mencatatkan dua kemenangan berturut-turut setakat ini.
Tampil selaku juara bertahan, reputasi Kelantan semakin dipertikaikan setelah mempamerkan aksi hambar dalam dua perlawanan lalu. Sementara label pasukan pilihan, sesuatu yang paling dibenci oleh setiap pasukan pula seakan memberi tekanan berganda kepada pemain mereka untuk mempertahankan kejuaraan musim ini.
Andai tiga mahu kehilangan tiga mata, The Red Warriors perlu menampilkan perwatakan sebenar bergelar sang juara untuk membaham ‘Budak Felda’. Biarpun beraksi di gelanggang lawan, namun Kelantan harus memanfaatkan sokongan ribuan penyokong setia The Red Warriors yang bakal menakluki Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini
Gandingan penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan Azammuddin Mohd Akil harus lebih bernafsu didepan pintu gol pasukan lawan setelah kemarau jaringan dalam pertemuan dengan Johor FC tempohari.
Sementara itu, Ketua Jurulatih, Datuk M Karathu harus lebih berani membuat perubahan taktikal andai jentera tengah gagal berfungsi seperti yang diharapkan. Malah kredibiliti jeneral padang, Muhd Badhri Radzi sekali lagi ditagih tatkala mempamerkan aksi mengecewakan dalam perlawanan lalu.
Tindakan menurunkan rangkaian pemain seperti Mohd Nurul Azwan Roya, Mohd Shakir Shaari dan S Chanturu memang disifatkan percaturan terbaik tetapi mereka harus lebih kreatif mencipta peluang untuk diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
Bukan setakat itu, ‘hidup atau mati’ sesebuah pasukan semuanya berpunca daripada jentera tengah. Mereka perlu bertindak lebih efektif kerana bukan mudah untuk menyekat kemaraan rangkaian pemain tengah KL Felda United FC iaitu Mohd Nizam Abu Bakar, Azi Shahril Azmi, Liew Kit Kong dan Mohd Badrul Azam Zamri yang terbukti beraksi cemerlang setakat ini.
Sementara dibahagian pertahanan, segalanya tampak serba sempurna sekalipun tanpa kehadiran Zairul Fitree Ishak diposisi bek kiri. Penampilan penggantinya, Mohamad Ab Aziz Ismail ternyata tidak mengecewakan malah berjaya membentuk gandingan yang mantap bersama Mohd Daudsu Jamaluddin, S Subramaniam dan Mohd Farisham Ismail setakat ini.
Diposisi penjaga gol, Mohd Shahrizan Ismail tetap menjadi pilihan Karathu yang menunjukkan persembahan cemerlang dalam dua perlawanan setakat ini.
No comments:
Post a Comment