Saturday, September 24, 2011

APEX, IZUAN KEMBALI PERKUATKAN PASUKAN

Khairul Fahmi (kanan) hampir pasti menjadi pilihan Karathu biarpun persembahan Mohd Shahrizan (kiri) tidak mengecewakan sepanjang empat perlawanan lalu.
 
KOTA BHARU – Kurang 72 jam kembali daripada tugasan bersama skuad kebangsaan selepas menentang Jepun dalam pusingan ketiga Kumpulan C Kelayakan Sukan Olimpik 2012 di Fukuoka, Jepun, ada tugasan penting sekali lagi menanti penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat apabila menyertai skuad Kelantan, hari ini
 
Selepas beraksi cemerlang menafikan sekurang-kurangnya sembilan percubaan merbahaya oleh ‘Samurai Biru’ walaupun skuad Olimpik kecundang 0-2 dalam perlawanan tersebut, kehebatan Khairul Fahmi atau lebih dikenali dengan Apex sekali lagi ditagih oleh pengendali, Datuk M Karathu apabila berhadapan Johor FC dalam perlawanan kedua terakhir
 
Aksi cemerlang Apex dalam perlawanan tersebut meletakkan beliau selaku pemain pilihan Karathu walaupun prestasi Mohd Shahrizan Ismail juga tidak mengecewakan sepanjang menggalas tugas menjaga gawang Kelantan dalam empat perlawanan lalu.
 
Sementara itu kehadiran pemain sayap kiri lincah, Mohd Izuan Salahuddin juga cukup melegakan pengendali berusia 68 tahun tatkala persembahan turun naik Mohd Nurul Azwan Roya sedikit merisaukan penyokong setia Kelantan.
 
Diposisi pertahanan jelas tidak ada alasan bagi Karathu untuk membuat rombakan sementelah penampilan Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham Ismail, S Subramaniam dan Mohamad Ab Aziz Ismail cukup kental sebagai sepanjang kempen Piala Malaysia setakat ini.
 
Ledakkan dua gol Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi dalam perlawanan menentang Sarawak tempohari membuktikan pemain berusia 29 tahun itu berjaya memadamkan kritikan yang dilemparkan terhadap aksi yo-yo beliau sebelum ini.
 
Bertemu Johor FC menjanjikan saingan sengit dan ini diakui sendiri Karathu dan beliau perlu mengarahkan pemain tengah yang lain seperti Mohd Shakir Shaari, S Chanturu dan Mohd Nurul Azwan Roya bertindak lebih agresif serba bijak menguasai posisi tersebut.
 
Tidak seperti pertemuan pertama di Kota Baharu di mana penampilan berdisiplin jentera tengah Johor FC diketuai Kaptennya, Rezal Zambery Yahya berjaya menguasai posisi tersebut. Dan ini yang harus diambil perhatian oleh Karathu apabila bertemu dengan anak buah Sazali Saidun malam ini.
 
Pertemuan malam ini juga memberi peluang kepada penyerang dari Pahang, Azammuddin Mohd Akil yang memasang impian untuk menamatkan kemarau jaringan sejak empat perlawanan lalu.
 
Sementara itu pergerakan penyerang sensasi, Norshahrul Idlan Talaha mungkin sudah boleh dibaca namun beliau mampu menghadiahkan jaringan bermakna untuk The Red Warriors sekiranya benteng pertahanan Johor FC tidak berwaspada dengan kelincahan beliau di depan pintu gol mereka.
 
Kemenangan malam ini cukup penting bagi Kelantan untuk melayakkan diri ke saingan suku akhir. Walaupun keputusan seri sudah memadai namun Karathu tetap memburu tiga mata sebelum membuat perhitungan dengan KL Felda United FC pada Selasa ini bagi penentuan juara kumpulan C.

No comments:

Post a Comment