Thursday, August 11, 2011

TRW INTAI SEORANG LAGI PEMAIN

Norshahrul Idlan (berjersi merah) dilaporkan semakin pulih daripada kecederaan 'hamstring' dan bakal turun menjalani latihan bila-bila masa bersama pemain Kelantan yang lain.

KOTA BHARU – Selepas penyerang berbisa Pahang, Azammuddin Mohd Akil mengesahkan menyertai pasukan The Red Warriors, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kini memburu seorang lagi pemain bagi memperkuatkan cabaran pasukan tersebut mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia musim ini.

Tanpa mahu mendedahkan identiti pemain dan daripada pasukan mana, Presidennya, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan, keputusan muktamad sama ada berjaya mendapatkan pemain itu hanya dapat diumumkan pada hari terakhir pendaftaran pemain (hari ini).

“Kita sudah mendapat lampu hijau daripada Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) untuk meminjam Azammuddin (Mohd Akil) dan dia akan melaporkan diri untuk menyertai latihan bersama Kelantan pada hari ini,” katanya dalam sidang media, semalam.

“Pada masa yang sama kita akan meminjamkan seorang lagi pemain yang beraksi diposisi ‘attacking midfield’ bagi memperkuatkan pasukan. Kemungkinan Solehin Kannasian Abdullah tidak boleh beraksi dalam kempen Piala Malaysia kali ini atas faktor kesihatan.

“Untuk itu kita melihat keperluan mengambil pemain diposisi tersebut. Bagi saya pemain pertahanan kita sudah cukup bagus. Tinggal lagi dibahagian tengah dan serangan yang harus kita perkemaskan,” katanya.

Menurut Annuar, keputusan mendapatkan khidmat penjaring gol kedua terbanyak pasukan Tok Gajah itu dianggap wajar memandangkan saingan kempen Piala Malaysia yang kompetetif memungkinkan berbagai situasi buruk yang tidak dijangka boleh menimpa sesebuah pasukan.

 “Berdasarkan pemerhatian, kita lihat dia mempunyai ‘track record’ bagus dengan kemampuan mengawal bola beserta larian yang baik. Jadi kita akan menggandingkan dia dengan Norshahrul Idlan (Talaha) dibahagian jentera serangan Kelantan. Kita berharap kehadiran dia dapat memantapkan serangan pasukan kita.

ANNUAR

“Selain itu kita ada Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) yang juga boleh diharapkan. Prestasi dia agak baik namun dia perlu diberi pendedahan dalam banyak perlawanan memandangkan usia dia masih muda.

“Sebenarnya kita tidak mempunyai banyak pilihan (meminjam pemain). Banyak pasukan yang tidak layak beraksi dalam kempen Piala Malaysia tidak mempunyai pemain yang berkaliber tinggi atau mencapai tahap tertentu yang kita kehendaki,” katanya.

Mengulas mengenai tahap kecederaan yang dialami penyerang terbilang Kelantan ketika ini, Norshahrul Idlan Talaha, Annuar turut menjelaskan kecederaan yang dialami pemain tersebut tidak begitu membimbangkan dan boleh turun menjalani latihan pada bila-bila masa.

“Kita bagi dia rehat supaya dia boleh cepat sembuh. Dia ada sedikit masalah ‘hamstring’ dan kita minta pihak Institut Sukan Negara (ISN) membuat pemantauan rapi. Sebagai pemain yang bernilai kita tidak mahu mengerah kudratnya berlebihan yang akhirnya boleh memberi kesan kepada kesihatan dia sendiri,” katanya.

Sementara itu pasukan The Red Warriors akan menjalani latihan di ibu negara selama seminggu bermula minggu depan. Skuad bimbingan Datuk M Karathu itu akan mengadakan tiga siri perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur pada 14 dan Selangor (17 Ogos) serta sebuah pasukan lagi yang akan ditentukan dalam kemudian.

No comments:

Post a Comment