Thursday, February 24, 2011

WASPADA HADAPI PERLIS

MOHD YUSRI ISMAIL

KOTA BHARU – Berbekal keyakinan yang tinggi setelah mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Kedah tempohari, skuad Piala Presiden Kelantan kini bersedia untuk mengecewakan Perlis apabila kedua-dua pasukan turut beraksi dalam perlawanan Liga Piala Presiden di Stadium Utama Negeri, Kangar petang ini. 

Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail berkata, para pemainnya begitu bersemangat untuk menghadapi Perlis rentetan kejayaan cemerlang mengatasi Sang Kenari sekali pun terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

“Namun saya tetap mengingatkan para pemain tidak memandang mudah perlawanan ini. Mereka perlu berwaspada kerana pasukan Perlis tidak kurang hebatnya kerana mereka pernah mengalahkan Kedah 1-0 sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kita bertandang ke Kangar dengan misi sekurang-kurangnya mencuri satu mata di sini. Namun sekiranya pemain bermain mengikut arahan, saya percaya Kelantan boleh menewaskan Perlis di hadapan penyokong mereka sendiri.

“Sesi latihan terakhir petang kelmarin lebih tertumpu kepada usaha mempertajamkan jentera serangan. Memang jentera serangan kita agak tumpul malahan mensia-siakan banyak peluang ketika bertemu Kedah tempohari. Jadi, saya harap ianya tidak berlaku lagi dalam perlawanan ini,” katanya.

Menurut Mohd Yusri, skuad Kelantan dijangka menurunkan barisan terkuat bagi menghadapi Perlis kerana semua pemainnya bebas daripada masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan.

“Kecuali Tuan Mohd Norhafiziee (Tuan Mahmood) tidak dapat beraksi kerana menerima kad merah dalam perlawanan menentang Kedah. Penggantinya, Mohd Shafiq Haikal (Nazaruddin) bersedia diturunkan malahan keupayaan dia setanding Tuan Mohd Norhafiziee. 

Penyerang Kelantan, Mohd Aris Zaidi (dua,kanan) diharap bertindak lebih agresif untuk memburu gol pasukan Kelantan

“Saya percaya kita diberada di landasan yang tepat untuk mencipta kemenangan ketiga sekali pun beraksi di gelanggang lawan. Tiada tekanan ke atas pemain kita dan mereka bersedia memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh pihak pengurusan.

“Saya berharap gandingan dua penyerang, Mohd Aris Zaidi dan Mohd Farhan Yaakub kembali ke kemuncak prestasi mereka dan perlu memanfaatkan setiap peluang terhidang di depan pintu gol Perlis dalam perlawanan itu nanti,” katanya.

Kelantan kini berada ditangga ketiga carta Kumpulan A berkongsi enam mata dengan Sime Darby FC sambil Sabah terus bah mengungguli carta tersebut dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri.

No comments:

Post a Comment