Saturday, February 26, 2011

KELANTAN BURU KEMENANGAN KEEMPAT


S Chanturu (kiri) bersedia diturunkan buat pertama kali perlawanan menentang Kedah, malam ini.

KOTA BHARU – “Buru kemenangan keempat”. Begitulah harapan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu apabila pasukan bimbingannya turun beraksi menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Karathu berkata, kejayaan mengatasi T-Team dalam saingan Piala FA minggu lalu memberi suntikan semangat kepada anak buahnya untuk terus mengekalkan rentak cemerlang sebaik sahaja perlawanan Liga Super disambung malam ini. 

“Bagi saya, setiap perlawanan yang dilalui oleh Kelantan begitu penting. Kita tidak boleh tercicir mata dan kita perlu mengambil kesempatan mengutip mata sebanyak mungkin pada awal saingan liga bagi memastikan Kelantan terus berada dalam keadaan selesa memimpin carta liga,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Saya mahu jentera serangan Kelantan bertindak lebih agresif di depan pintu gol. Saya mahu setiap peluang yang terhidang disudahi dengan noktah jaringan bagi memastikan kita mampu membawa pulang tiga mata ke Kota Bharu.

“Saya mahu penyerang seperti Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) lebih bernafsu di depan pintu gol. Memang kalau kita tengok prestasi dia sebelum ini dalam dua perlawanan liga terakhir dia mempunyai sekurang-kurangnya enam peluang untuk menjaringkan gol namun hanya satu yang menerjah jaringan. Saya berharap dia kembali menemui sentuhannya,” katanya.

Menurut Karathu, dia tidak mahu jentera serangan sahaja menjaringkan gol sebaliknya pemain diposisi lain juga harus mengambil tanggungjawab yang sama  membantu menjaringkan gol untuk Kelantan.

“Kita ada Muhd Badri (Radzi), Mohd Nurul Azwan (Roya), Mohd Shakir (Shaari) dan lain-lain pemain yang mampu membutirkan jaringan untuk Kelantan. Saya rasa semua pemain mempunyai tanggungjawab yang sama (menjaringkan gol).

Ditanya mengenai pertemuan menentang Kedah malam ini, Karathu sesekali tidak memandang mudah perlawanan ini sebaliknya tetapi menghormati keupayaan barisan pemain muda Sang Kenari.

“Kedah merupakan pasukan yang kuat. Walaupun menduduki pertengahan carta liga namun itu bukan sebenarnya. Malah kejayaan mereka mengikat keputusan seri dengan T-Team dan Perak menunjukkan kemampuan anak buah Ahmad Yusoff tidak boleh dipandang rendah.

“Sekiranya pemain bekerja kuat dan mengikut semua arahan taktikal yang diberikan, tidak mustahil kita mampu untuk menumpaskan mereka malam ini. Saya bersedia menurunkan S Chanturu yang baru pulih daripada kecederaan dalam perlawanan malam ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment