Thursday, February 17, 2011

KARATHU PUAS HATI KEBANGKITAN PEMAIN

Aksi pemain gantian Kelantan, Mohd Nizab Ayub dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur malam semalam jelas tidak mengecewakan M Karathu. 

KOTA BHARU – Riak wajah kegembiraan jelas terpancar buat pengendali Kelantan, Datuk M Karathu setelah hasrat pasukannya untuk mengutip tiga mata penuh akhirnya tercapai biarpun bimbingannya mengalami kesukaran untuk mencatatkan kemenangan ke atas Kuala Lumpur dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam semalam.

Karathu mengakui, para pemainnya berhadapan kesukaran untuk memecahkan kebuntuan jaringan ketika menentang Kuala Lumpur malam semalam tetapi pada masa yang sama beliau memuji kesungguhan pemainnya yang kembali bangkit mencipta jaringan biarpun pada babak kedua perlawanan itu berlangsung.

“Jelas mereka (Kuala Lumpur) bertandang ke Kota Bharu untuk bermain secara bertahan. Taktikal itu ternyata memberi masalah kepada pemain kita apabila sembilan pemain mereka berkampung di pintu gol dan anda boleh lihat pemain kita terjerat dengan situasi tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Kita mempunyai peluang yang banyak pada separuh masa pertama untuk menjaringkan gol tetapi pemain kita tetap gagal menjaringkan gol. Malahan pemain kita kerap hilang bola dan agak sukar untuk menghantar bola kepada rakan sepasukan yang lain.

“Kita terlampau melancarkan serangan menerusi bahagian tengah dan tidak dibahagian kiri dan kanan padang. Sebab itu pada separuh masa kedua, kita menukar corak permainan dengan melancarkan serangan melalui bahagian tepi. Hasilnya kita boleh lihat apabila kedua-dua gol yang kita jaringkan adalah menerusi sebelah kiri padang,” katanya.

Karathu berkata, perubahan taktikal yang dilakukannya pada separuh masa kedua disifatkan menjadi dengan corak permainan lebih berorientasikan serangan walaupun pergerakan penyerangnya, Norshahrul Idlan Talaha agak terbatas dalam perlawanan itu.

“Dia (Norshahrul Idlan) dikawal ketat oleh tiga pemain Kuala Lumpur. Namun saya bersyukur kerana aksi dua pemain penyerang kita yang lain, Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) dan Mohd Nizab (Ayub) jelas tidak mengecewakan saya.

“Mereka menunjukkan komitmen yang tinggi dalam perlawanan ini. Ini perlawanan kedua bagi Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) dan saya fikir sudah ada peningkatan daripada satu perlawanan kepada perlawanan yang lain bagi pemain itu. Mohd Nizab (Ayub) pula dimasukkan menggantikan Solehin (Kanasian Abdullah) yang beraksi kurang baik dalam perlawanan semalam.

“Mungkin faktor keletihan mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh lapan hari memberi kesan kepada prestasi dia. Saya tidak bersedia menurunkan Mohd Nizab dalam kesebelasan utama pemain kerana takut dia tidak mempunyai keyakinan untuk beraksi. Sementara khidmat bek kiri, Zairul Fitree (Ishak) saya terpaksa ketepikan kerana dia mengalami kecederaan ketika pertemuan menentang Johor FC tempohari,” katanya.

No comments:

Post a Comment