Sunday, September 19, 2010

TIGA MATA BERMAKNA - SATHIA

Ketua pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin melompat tinggi sambil dicabar oleh pemain pertahanan dalam aksi Selangor PKNS FC menentang Kelantan malam semalam.

KOTA BHARU – Kelantan kembali memberi saingan bermakna setelah mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Selangor PKNS FC dalam perlawanan peringkat kumpulan TM Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam semalam.

Ternyata kemenangan tersebut menjadi suntikan semangat kepada barisan pemain Kelantan setelah mengalami kekalahan mengejut ditangan Negeri Sembilan pada perlawanan pembukaan baru-baru ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, kemenangan tipis hasil jaringan Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada minit ke-73 sudah cukup memastikan Kelantan meraih tiga mata dalam perlawanan itu.

“Kita bermain dengan begitu baik dan menguasai perlawanan namun kita menghadapi kesukaran menjaringkan gol kerana pasukan Selangor PKNS FC dilihat mengamalkan corak permainan bertahan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebelum berlepas pulang ke Kota Bharu semalam.

“Pasukan tuan rumah jelas bermain secara bertahan, mungkin untuk mendapatkan keputusan seri. Dalam situasi sukar itu, kita tetap mempunyai banyak peluang menjaringkan gol termasuk dua percubaan pemain kita dinafikan tiang gol.

“Walaubagaimanapun, pemain kita hilang sedikit kosentrasi terutamanya selepas berjaya menjaringkan gol itu. Mereka membenarkan pemain lawan menguasai bola dan ini membolehkan mereka melancarkan serangan ke pintu gol kita,” katanya.

Sathianathan berkata, keseluruhannya beliau berpuashati dengan peningkatan prestasi berbanding dengan perlawanan pembukaan menentang Negeri Sembilan tempohari.

“Sudah pasti saya gembira, tiada tekanan ke atas pemain setelah kita berjaya mengutip tiga mata penting di sini (Kelana Jaya). Pemain memperbaiki corak permainan, malahan hantaran bola kepada rakan sepasukan juga kemas. Apa yang penting mereka berjaya mengawal emosi semasa bermain dibawah tekanan.

Ketika ditanya mengenai tindakannya merehatkan beberapa tonggak utama seperti penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan Muhd Badhri Radzi, Sathianathan mempunyai alasan tersendiri disebalik perancangannya itu.

"Itu perkara biasa (merehatkan pemain didalam pasukan). Mana-mana pemain yang tidak mencapai prestasi yang memuaskan, saya perlu direhatkan. Ada ketikanya pemain mencapai satu fasa dimana mereka mengalami prestasi menurun dalam satu-satu masa.,” katanya. 

No comments:

Post a Comment