Wednesday, August 25, 2010

TIGA PASUKAN KELAB UJI KELANTAN

KOTA BHARU – Tiga pasukan berstatus kelab mengesahkan akan mengadakan siri perlawanan persahabatan dengan skuad Kelantan sebagai persiapan menghadapi saingan kempen Piala Malaysia yang akan bermula pertengahan bulan September nanti.
 
Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, beliau cuba mengatur perlawanan persahabatan sebanyak mungkin dan hasilnya tiga pasukan kelab telah mengesahkan untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad The Red Warriors.
 
“Ketiga-tiga pasukan itu yang dimaksudkan  adalah UiTM FC, T-Team dan juga juara Liga Perdana musim ini, Felda United FC,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
 
“Saya difahamkan UiTM FC, juara Kejohanan Liga IPT merupakan pendatang baru dalam Liga Perdana musim depan. Jadi ini merupakan satu peluang yang baik bagi pasukan itu untuk menguji kehebatan pasukan kita.
 
“Kesudian mereka untuk menghadapi perlawanan persahabatan dengan kita amat dihargai. Mereka sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri datang ke Kota Bharu. Kita akan menentang pasukan ini pada 29 Ogos ini. Jadi saya berharap para peminat dapat datang beramai-ramai menyaksikan perlawanan persahabatan di stadium pada tarikh itu.

Menurut Sathianathan, dua lagi siri perlawanan persahabatan yang akan diharungi ialah menentang T-Team di Kuala Terengganu pada 3 September dan Felda United FC pada 5 September di Kota Bharu.

“Pasukan berstatus kelab, T-Team pernah kita hadapi musim ini dalam saingan Liga Super. Perlawanan pusingan pertama kita menang tipis 1-0 di Kuala Terengganu sementara perlawanan terakhir awal bulan ini kita sekadar seri tanpa jaringan.

“Sementara Felda United FC pula, selaku juara Liga Perdana perlu dihormati reputasinya. Kita pernah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan ini pada awal musim di Kota Bharu. 

“Sudah pasti peningkatan mendadak pasukan dari Lembah Kelang ini merupakan satu petanda yang positif dalam bola sepak tempatan. Saya fikir perlawanan persahabatan dengan kedua-dua pasukan ini (T-Team dan Felda United FC) merupakan kesempatan terbaik bukan sahaja kepada pasukan kita, bahkan bagi kedua-dua pasukan itu kerana mereka akan berentap di dalam satu kumpulan selain Selangor dan Perlis.

Sementara itu, Sathianathan mengingatkan kepada para pemainnya agar tidak memandang mudah ketiga-tiga perlawanan persahabatan itu.

“Bukan mudah untuk mengatur perlawanan persahabatan sebegini, sementelah kita di dalam bulan puasa ini. Untuk kita keluar (mengadakan perlawanan persahabatan di luar Kelantan) sudah pasti mustahil lebih-lebih lagi pada bulan puasa ini.

“Jadi saya berharap para pemain saya memanfaatkan peluang bermain perlawanan persahabatan itu disamping kita cuba mengekalkan momentum persembahan yang bertenaga sepanjang tiga perlawanan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment