Tuesday, August 3, 2010

BOLA SEPAK JADI AGENDA NASIONAL - ANNUAR



KOTA BHARU – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baru, Tan Sri Annuar Musa berhasrat menjadikan sukan bola sepak sebagai agenda nasional bagi memperkasakan sukan tersebut sepanjang berada didalam barisan kepimpinan  FAM bagi penggal empat tahun.

“FAM mempunyai tanggungjawab yang cukup besar malah saya membayangkan bola sepak mesti dirancang untuk menjadi agenda nasional dan kita harus meyakinkan pihak kerajaan supaya bersedia menerima sukan bola sepak sebagai agenda nasional,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu semalam.

Kepulangan Tan Sri Annuar Musa itu disambut hampir 100 orang termasuk penyokong, pemain dan pihak pengurusan Liga Super Kelantan.

Kepulangan Presiden FAM, merangkap Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa disambut oleh penyokong dan pihak pengurusan Liga Super Kelantan

“Dalam konteks falsafah 1Malaysia, ianya bukan bermakna FAM hanya mempunyai peranan tertentu sahaja, tetapi lebih kepada usaha FAM untuk menjayakan dasar kerajaan melalui bola sepak dan bidang-bidang yang lain.

“Kita berharap pihak FAM diberi peluang menjayakan dasar kerajaan melalui bola sepak sebagai satu agenda nasional dan kita akan menggariskan secara jelas peranan yang akan dilakukan oleh FAM dan juga pihak kerajaan.

 “Kita juga akan menjalinkan kerjasama yang strategik dengan pihak luar seperti swasta dalam bentuk hubungan baru, walaupun sebelum ini kita sudah melakukannya.

Menurut Annuar, selaku badan induk bola sepak kebangsaan, FAM bersedia merangka pelbagai perkara baru dalam jangka masa empat tahun ini.

Sementara itu, beliau melahirkan rasa bersyukur diatas pemilihan beliau sebagai Timbalan Presiden FAM yang baru sambil mengakui masyarakat di negara ini akan memerhatikan dengan penuh minat apakah perubahan yang mampu dilakukan oleh FAM dalam tempoh empat tahun ini.

“Ini merupakan satu permulaan kepada satu beban tugas yang cukup berat dan menuntut komitmen 100 peratus melalui gerak kerja secara berpasukan. Justeru kita harus membuat perancangan yang baik dan melaksanakan dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Empat tahun merupakan tempoh masa yang cukup panjang. Kita harus menyediakan perancangan jangka panjang di antara lima hingga 10 tahun dengan matlamat dan hala tuju yang begitu jelas.

“Diperingkat kepimpinan, kita tidak boleh membuat sebarang keputusan yang tergesa-gesa atau sentiasa berubah-ubah malahan kita perlu mempunyai ketertiban sebagai pembuat dasar didalam sesuatu perkara,” katanya.

No comments:

Post a Comment