Tuesday, July 20, 2010

TIDAK MUDAH MENYERAH KALAH - SATHIA



Penjaring gol pertama Kelantan pada perlawanan dengan Kuala Lumpur tempohari, Mohd Norfarhan Muhammad cuba melakukan rembatan sambil dihalang pemain pertahanan Kuala Lumpur, Ahmad Dashila Tajudin.

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, takhta kejuaraan Liga Super tidak akan mudah menjadi milik Selangor, sebaliknya beliau menganggap penentuan tersebut hanya akan dapat diputuskan setelah baki tiga perlawanan berakhir. 

“Saya tetap kata dalam tiga perlawanan terakhir ini apa-apa boleh terjadi. Kita ada perlawanan dengan KL Plus di Kota Bharu, lepas itu kita harungi perlawanan sengit di Pasir Gudang menentang Johor FC dan terakhir T-Team di Kota Bharu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian sebelum berlepas pulang ke Kota Bharu semalam. 

“Selangor pun sama, jadi apa-apa boleh berlaku. Untuk Selangor, mereka mengharapkan kita kalah atau seri. Kita pun mengharapkan mereka kalah. Jadi apa-apa pun boleh terjadi. 

“Bagi saya, tumpuan saya adalah untuk pasukan Kelantan dan bukan Selangor. Saya hendak tiga perlawanan kita memperolehi sembilan mata. Peluang masih terbuka untuk Kelantan, kalau Selangor seri satu dan kalah satu, mereka sudah rugi lima mata,” katanya.

Menyentuh mengenai kejayaan membenamkan cabaran Kuala Lumpur 2-0 di Cheras tempohari, beliau pada keseluruhannya berbangga dengan aksi cemerlang pemain Kelantan. 

“Saya bangga dengan cara pemain saya beraksi. Selalunya apabila kita menentang pasukan yang lemah, kita susah sedikit hendak menang tapi malam semalam kita menguasai perlawanan walaupun pasukan tuan rumah mempunyai turut satu dua peluang tetapi secara keseluruhannya kita tetap mendominasi perlawanan. 

“Saya bangga dengan pemain menyimpan bola, mencipta peluang dan tidak hilang fokus pada perlawanan itu.

“Apa yang penting kita tidak dibolosi, dua jaringan, dan tiga mata pada perlawanan itu. Dan sekarang kita teruskan momentum tersebut untuk tiga perlawanan terakhir.

“Apa yang penting kita mesti kekalkan gelaran kita sebagai pasukan yang hanya kalah sekali dalam Liga Malaysia sehingga penghujung musim ini. Ini satu ‘track record’ yang baik dan saya harap keputusan ini kekal dan kita akan bawa kejayaan ini dalam kempen Piala Malaysia.

Sementara itu, aksi liga yang terhenti selama 10 hari akan digunakan sepenuhnya Sathianathan bagi memperbaiki kelemahan pasukan Kelantan menjelang pertemuan menentang KL Plus pada 28 Julai nanti.

“Kita akan cuba mengatur satu perlawanan persahabatan di Kota Bharu pada 24 Julai ini. Ada pasukan yang mungkin tidak akan bermain kerana hendak ambil peluang untuk berehat, tapi kita sudah baru rehat lima minggu (sempena Piala Dunia baru-baru ini), jadi saya tidak perlu rehat lagi,” katanya.

1 comment: