Tuesday, July 6, 2010

REKOD CEMERLANG SKUAD JANG BAKAL BERAKHIR


KOTA BHARU – Kelantan melaungkan amaran awal bahawa bukan mudah bagi  Negeri Sembilan untuk mencipta kemenangan pada pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam ini.

Sebaliknya rekod cemerlang skuad Jang setiap kali beraksi di Kota Bharu bakal berakhir pada perlawanan malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, persiapan rapi hampir sebulan termasuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan di ibu negara minggu lalu menjadi bekalan terbaik anak-anak buahnya berhadapan dengan Negeri Sembilan malam ini. 

B SATHIANATHAN

“ Kita telah melakukan persiapan yang baik sepanjang tempoh itu. Jadi saya berharap pemain menunjukkan persembahan cemerlang malam ini untuk mencipta kemenangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Sudah pasti kita mahu menang pada perlawanan ini bagi memberi tekanan kepada pendahulu liga, Selangor yang selesa dengan kelebihan lapan mata.

“Ramai penyokong lebih memperkatakan tentang perlawanan Kelantan dengan Selangor pada hujung minggu ini. Tetapi saya mahu para pemain saya menumpukan perhatian tentang perlawanan ini (pertemuan dengan Negeri Sembilan),” katanya.

B Sathianathan tetap serius memantau latihan terakhir pemain Kelantan 
menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan malam ini.

Menurut Sathianathan, adalah lebih baik beliau menfokuskan perlawanan ini terlebih dahulu sebelum memikirkan perlawanan yang seterusnya.

Pada pertemuan pusingan pertama di Paroi bulan April lalu, Kelantan mengejutkan Negeri Sembilan dengan kemenangan 3-1.

“Pertemuan dengan Selangor itu soal lain. Saya mahu pemain saya meraih tiga mata dihadapan penyokong sendiri malam ini.

“Saya telah mempunyai barisan pemain yang akan diturunkan pada perlawanan malam ini. Hanya Azizi (Matt Rose) tidak akan beraksi kerana menjalani penggantungan perlawanan dan tempat beliau akan dipikul oleh Mohd Rizal Fahmi (Abd Rosid).

Sathianathan berkata, berharap para penyokong setia Kelantan kembali memenuhi stadium bagi memberi sokongan kepada pemain The Red Warriors.

“Sudah sebulan tidak ada perlawanan di Kota Bharu, jadi saya berharap malam ini para penyokong Kelantan hadir beramai-ramai memberi sokongan kepada pasukan kita.

Sementara itu, Sathianathan berharap keadaan padang di stadium kembali pulih seperti sedia kala menjelang perlawanan malam ini.

“Keadaan padang di stadium tidak berapa memuaskan sebelum ini. Saya berharap masalah tersebut dapat diatasi dengan segera.

“Keadaan padang sememangnya memberi kesan kepada persembahan kedua-dua pasukan. Kalau kita mahu melihat aksi perlawanan yang menarik, maka keadaan padang di stadium juga harus berkeadaan baik,” katanya.

No comments:

Post a Comment