Monday, July 12, 2010

PELUANG MASIH TERBUKA - SATHIA


B SATHIANATHAN

KOTA BHARU – Keputusannya sudah pun tertulis. Tidak ada pemenang mutlak bagi Selangor mahupun Kelantan. Sebaliknya kedua-dua harus akur sekadar berkongsi mata dalam perlawanan yang disifatkan paling menarik dalam Liga Super setakat ini.

Ibarat perlawanan akhir, dua pasukan mempamerkan semangat juang luar biasa – aksi berbalas serangan persis mahu menjulang piala liga pada malam itu juga sedangkan perjalanan liga masih lagi berbaki empat perlawanan.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, beliau tertarik dengan semangat juang anak-anak buahnya yang kembali bangkit setelah ketinggalan 0-1 pada suatu ketika.

“Mereka menunjukkan persembahan yang cemerlang dan saya fikir walaupun kita gagal mendapat tiga mata di Shah Alam, peluang masih terbuka untuk Kelantan memburu kejuaraan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Saya percaya kita boleh bermain lebih baik lagi daripada perlawanan malam semalam. Namun begitu, benteng pertahanan kita pula tidak berfungsi dengan baik, terlalu banyak memberi ruang kepada pemain Selangor.

“Saya ada masa enam hari bagi memperbaiki kelemahan tersebut sebelum menentang Kuala Lumpur di Cheras Sabtu ini. Kita tidak boleh kehilangan mata lagi dalam empat perlawanan terakhir selepas ini,” katanya.

Sathianathan berkata, perlawanan malam semalam seumpama perlawanan akhir kerana beliau percaya kedua-dua penyokong pasukan pasti berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan.

“Boleh kena sakit jantung juga dibuatnya apabila melihat aksi malam semalam. Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bahkan tempo permainan yang laju begitu menghiburkan penonton yang berada di stadium.
                                                                                      
Ditanya mengenai kecederaan yang dialami penyerang terbilang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha, Sathianathan berkata pemain itu sendiri mengambil risiko untuk turun beraksi.

Kesebelasan utama pemain Kelantan yang beraksi pada pertemuan
menentang Selangor di Stadium Shah Alam malam semalam.

“Dia (Norshahrul Idlan Talaha) mempunyai semangat berkobar-kobar untuk bermain walaupun menyedari kecederaannya belum pulih sepenuhnya. Akhirnya dia terpaksa dikeluarkan setelah kecederaan lamanya berulang kembali.

Dalam pada itu, Sathianathan turut menghemburkan pujian terhadap sokongan peminat setia Kelantan pada perlawanan itu.

“Mereka tidak putus-putus memberi sokongan biarpun kita ketinggalan pada satu ketika. Sudah pasti saya berbangga kerana mempunyai penyokong seperti ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment