K DEVAN
KOTA BHARU –Setelah begitu lama gah dipersada liga, buat pertama kalinya Ketua Jurulatih Selangor, K Devan terpaksa akur bahawa tidak semua kemenangan berpihak kepada pasukannya setelah tewas mengejut 0-1 kepada Perak di Ipoh tempohari.
Malam ini, pertemuan Selangor menentang Kelantan di Stadium Shah Alam mungkin mampu menenggelamkan seketika kemeriahan kempen Piala Dunia yang sedang menuju ke kemuncaknya tidak lama lagi.
Ketua Jurulatih Selangor, K Devan berkata, perlawanan terpenting malam ini menjadi penentuan sama ada Selangor memilih laluan sukar atau sebaliknya bagi mengejar kejuaraan liga musim ini.
“Perlawanan malam ini pasti menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak tanah air. Selangor harus mengambil kesempatan beraksi digelanggang sendiri dan kami tidak boleh memilih jalan sukar untuk meraih kejuaraan kerana Kelantan kian menghambat kami,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
“Ini satu-satunya peluang bagi pasukan Selangor menjarakkan diri daripada Kelantan. Pemain Selangor akan turun berjuang habis-habisan untuk mengutip tiga mata penting malam ini.
Menurut Devan, pemain Selangor tidak berasa tertekan disebalik kekalahan mengejut 0-1 kepada Perak tempohari sebaliknya beliau menyifatkan Selangor tidak bernasib baik pada perlawanan itu.
“Kita bermain begitu baik pada perlawanan itu, bahkan kita mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Namun nasib tidak menyebelahi kita, sebaliknya tuah memihak kepada Perak yang berjaya menjaringkan gol tunggal pada perlawanan itu.
“Kemasukan semula Mohd Safee Sali dan Razman Roslan yang digantung empat perlawanan sebelum ini ke dalam skuad Selangor memberi satu petanda yang positif kebangkitan pasukan kami.
Ketika ditanya mengenai lawan yang bakal dihadapinya malam ini, Devan berkata, Kelantan merupakan sebuah pasukan yang cukup kuat dan Selangor tetap menghormati barisan pemain anak didik B Sathianathan itu.
“Sudah pasti Kelantan juga akan bermain mati-matian malam ini kerana mereka juga berpeluang untuk meraih trofi kejuaraan liga musim ini,” katanya.
Apa yang menarik, pertembungan The Red Giants menentang The Red Warriors malam ini bakal menyaksikan K Devan dan pemain tengah, Mohd Hardi Jaafar tidak akan bersama-sama pemain dibangku simpanan pasukan Selangor.
Sebaliknya, Devan hanya mampu memberi arahan kepada pembantunya daripada tempat duduk penonton kerana masih lagi menjalani penggantungan perlawanan ekoran kesalahan menyerang penjaga garisan ketika perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan di Paroi pada April lalu.
No comments:
Post a Comment