Wednesday, May 12, 2010

MISI HIDUP MATI KELANTAN

KOTA BHARU – Kita tidak ada pilihan selain perlu menewaskan Melaka pada perlawanan petang esok.

Begitulah pesanan pengurus pasukan Kelantan, Yahya Jamada Ali kepada anak buahnya menjelang perlawanan Piala Presiden menentang Melaka di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu petang esok.

Pengurus pasukan, Yahya Jamada Ali berkata, baki empat perlawanan yang tinggal harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengutip mata sebanyak mungkin bagi menghidupkan peluang layak ke suku akhir.

Yahya Jamada Ali
Pada perlawanan terakhir minggu lalu, Kelantan berjaya berkongsi mata dengan Sabah setelah seri 2-2 di Tawau.

Yahya berkata, skuad Kelantan kini bergelut dengan masalah kecederaan setelah beberapa pemain Kelantan mengalami kecederaan sekembalinya dari Sabah minggu lalu.

“Kita terpaksa mengetepikan khidmat Mohd Azyu Ikmal Che Mat Nor yang mengalami kecederaan pada perlawanan dengan Sabah,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

“Mohamad Zamri Ramli dan penjaga gol, Judtanna Eh Put juga mengalami kecederaan, tetapi kita berharap mereka segera pulih daripada kecederaan sebelum perlawanan petang esok,”

Menurut Yahya, beliau turut membayangkan skuad Kelantan bakal melakukan sedikit rombakan terhadap kesebelasan utama pemain yang akan diturunkan petang esok.

“Jurulatih, Zahasmi Ismail dan Hamid Ramli pasti akan membuat sedikit penyesuaian baru setelah beberapa pemain kita mengalami kecederaan.

“Pemain pertahanan kanan, Mohd Faizol Nazlin akan kembali memperkuatkan posisi sebelah kanan, manakala Mohamad Zamri Ramli mungkin akan menerajui jentera tengah menggantikan Muhammad Izwan Salahuddin, “katanya.

Khidmat ketua pasukan, Muhammad Izwan Salahuddin yang mengutip kad kuning ketiga, sekali lagi terpaksa diketepikan kerana akan menjalani penggantungan satu perlawanan.

Yahya berkata, dalam apa keadaaan sekali pun, Kelantan perlu menang ke atas Melaka pada perlawanan petang esok.

“Ini misi hidup mati kita. Menang bererti kita menghidupkan kembali peluang ke peringkat suku akhir. Kita tidak boleh seri apatah lagi kalah. Seri atau kalah bererti kita menyukarkan perjuangan kita selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Yahya turut memuji semangat yang ditunjukkan oleh pemain Kelantan sewaktu pertemuan dengan Sabah minggu lalu.

“Perlawanan dengan Sabah agak tegang sedikit dimana hampir mencetuskan pergaduhan. Tetapi mentaliti pemain kita berada ditahap terbaik apabila tidak mudah bertindak balas walaupun diprovokasi oleh pemain tuan rumah.

“Saya memuji sikap pemain Kelantan yang cukup tenang menghadapi situasi seperti itu dan tidak mudah melatah,” katanya.

Pada perlawanan menentang Sabah baru-baru ini, empat kad kuning dan satu kad merah dilayangkan kepada pemain tuan rumah. Manakala pemain Kelantan hanya mendapat satu kad kuning gara-gara menendang bola setelah pengadil perlawanan meniupkan wisel.

No comments:

Post a Comment