Monday, May 17, 2010

Karnival TRW dekati masyarakat Kelantan


KOTA BHARU – Karnival The Red Warriors (TRW) 2010 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Mei ini di perkarangan Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu dijangka dihadiri hampir 100 ribu pengunjung.

Karnival TRW 2010 dengan tema ‘Menjadi Medan Himpun Temu Berlandaskan Populariti Pasukan The Warriors’ merupakan cetusan idea Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa yang mahu merakyatkan sukan bola sepak khususnya  untuk penduduk di negeri Kelantan.

“Karnival ini antara lain bertujuan untuk menyatukan rakyat Kelantan yang cintakan bola sepak tanpa mengira fahaman dan pendekatan politik disamping menyemarakkan lagi sokongan padu terhadap pasukan The Red Warriors sempena Tahun Bola Sepak Kelantan (TBSK) 2010 tahun ini, “ katanya pada sidang akhbar petang semalam.

Annuar berkata, karnival yang julung kali diadakan pada penghujung bulan ini merupakan karnival yang pertama seumpama dianjurkan oleh persatuan bola sepak negeri di negara ini.

“Ini merupakan salah satu program yang diatur oleh pihak Kafa bagi mendekatkan pemain dengan masyarakat Kelantan. Sukan bola sepak bukan setakat hanya apabila ada perlawanan di stadium sahaja, kita mahu masyarakat menikmati pelbagai bentuk program berasaskan bola sepak seperti mana penganjuran karnival ini.

Menurut Annuar, peminat bola sepak Kelantan berpeluang beramah mesra dengan pemain bola sepak daripada Akademik Kafa, pemain skuad Piala Presiden sehingga kepada pemain Liga Super Kelantan.

Karnival yang akan bermula pada 28 Mei ini akan dirasmikan oleh Exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri Kelantan, YB Abdul Fatah Mahmood.

Antara pelbagai aktiviti yang akan berlangsung pada karnival itu ialah pertandingan futsal, pertandingan menimang bola, pertandingan bola sepak jalanan, persembahan dikir barat, persembahan kerohanian dengan artis jemputan Ramli Sarip, Mawi, Jay Jay dan kumpulan nasyid Unique.

Karnival ini turut diserikan dengan pelbagai gerai jualan produk sepanjang tiga hari berlangsung disamping kehadiran Dato’ Siti Nurhaliza bersama dengan produk kecantikan terbarunya, Simply Siti dan juga penampilan AC Mizal dengan di gerai jualannya.

1 comment: