KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengambil pendirian terus memberi sokongan kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah untuk memimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sempena kongres FAM yang akan berlangsung pada bulan Julai nanti.
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendirian itu diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Kafa yang diadakan dua hari lalu.
Tan Sri Annuar Musa
“Kafa dalam mesyuarat ahli majlisnya, sebulat suara memutuskan untuk mencalonkan semula Tuanku Sultan Pahang untuk terus memimpin FAM bagi penggal akan datang, “ katanya pada sidang akhbar kelmarin.
Annuar berkata, dalam mesyuarat itu juga, pihak Kafa telah mengemukakan beberapa cadangan yang akan dibawa untuk perhatian pihak FAM semasa kongres itu berlangsung.
Antaranya, pihak Kafa mencadangkan supaya bermula musim depan, pemain import dibenarkan dibenarkan beraksi dalam liga tempatan.
“Agak janggal bagi liga kita apabila pemain import tidak dibenarkan beraksi, sedangkan hampir kesemua negara rantau Asean membenarkan pemain import beraksi dalam liga di negara masing-masing.
“Langkah tidak membenarkan pemain import beraksi bukan bermakna tidak membawa keuntungan kepada kita. Sebaliknya, kita harus melihat daripada sudut positif macam mana kemampuan untuk kita beraksi dalam kejohanan peringkat Asia seperti kejohanan Piala AFC sekiranya tanpa kehadiran pemain import,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Annuar berkata, pihak Kafa turut membuat ketetapan bahawa sebarang bentuk perjudian tidak harus dikaitkan dengan sukan bola sepak.
“Mengapa perlu perjudian diluluskan, sedangkan syarikat rokok sendiri diharamkan untuk menaja bola sepak di negara kita. Kita khuatir bookie akan berusaha untuk mempengaruhi pemain membuat percaturan dalam liga kita pula.
Sementara itu, Annuar berkata, pihak Kafa turut mencadangkan Liga Malaysia dijenamakan semula sebagai satu liga yang lebih menarik pada musim akan datang.
“Adalah penting untuk kita menarik semula sokongan peminat tempatan untuk kembali menonton bola sepak di stadium. Kelantan sebenarnya telah melakukan transformasi ini. Semua pasukan berminat untuk bermain dengan Kelantan di gelanggang mereka kerana mereka tahu, apabila bertemu Kelantan, maka kutipan tiket mereka pasti tinggi sebagaimana pertemuan dengan KL Plus baru-baru ini, “katanya.
No comments:
Post a Comment