Setiausaha Agung Kafa, Mohammad Noordin Awang berkata, pihak Kafa berasa dukacita setelah gejala ini kembali menular dan akan menjalankan siasatan dengan segera.
“Kita menyedari sebelum ini gejala ulat tiket sudah berkurangan, tetapi pada perlawanan dengan Terengganu tempohari, mereka (ulat tiket) ini kembali bermaharajalela mengambil kesempatan menjual tiket dengan harga yang tidak masuk akal,” ” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.
Menurut Mohammad Noordin Awang, pihak Kafa sebelum ini telah menetapkan syarat setiap orang hanya boleh membeli empat keping tiket sahaja.
“Inilah masalahnya, ulat tiket terlalu ramai, mereka (ulat tiket) akan berpakat dan beratur secara bergilir-gilir bagi membeli tiket sebanyak yang mungkin. Sebagai contohnya, tiket tempat duduk berbumbung sememangnya terhad kepada seribu tempat duduk sahaja, dan apabila kita mula menjual tiket itu, dalam masa tidak sampai dua jam tiket itu habis dijual,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan pembabitan orang dalam, Mohammad Noordin berkata, pihak Kafa memandang serius dakwaan itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang bersekongkol dalam gejala ini.
“Pihak Kafa akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan masalah dan seterusnya mengambil langkah pencegahan bagi memastikan ianya tidak lagi berulang. Memang benar kita ada satu jawatankuasa yang memantau daripada segi penjualan tiket itu, tetapi kita tidak menekankan tentang aspek itu. Mungkin itu kelemahan daripada pihak Kafa dan kita akan perbaiki kelemahan itu, “ katanya.
Mengulas mengenai isu tiket palsu, Mohammad Noordin berkata, pihak Kafa mungkin akan mengkaji semula waktu penjualan tiket perlawanan bagi mengelakkan perkara itu daripada berulang.
“Kita menjual tiket perlawanan bermula jam 10 pagi pada hari perlawanan bagi membolehkan peminat mendapatkan tiket tersebut lebih awal. Walaubagaimanapun, disebalik kita membuka kaunter jualan tiket pada awal pagi, masih ada lagi individu yang mengambil kesempatan mencetak tiket palsu. Mungkin kita terpaksa jual tiket perlawanan pada sebelah petang selepas ini,” katanya.
Mohammad Noordin berkata, ratusan tiket palsu telah berjaya dikesan oleh pihak Kafa pada perlawanan Kelantan menentang Terengganu tempohari.
“Jumlah kerugian masih belum dapat ditaksirkan. Walaubagaimanapun, dari satu sudut pihak Kafa tetap dilihat mengalami kerugian yang tidak sepatutnya mereka tanggung.
"Saya mengharapkan kerjasama daripada orang ramai khususnya peminat bola sepak Kelantan, tolong laporkan kepada pihak Kafa atau pihak berkuasa dengan segera sekiranya mereka melihat gejala ini berlaku lagi di masa akan datang.", katanya.
No comments:
Post a Comment