UJIAN GETIR BUAT SATHIA, IRFAN BAKTI
Perlawanan pembuka tirai sepak mula TM Liga Malaysia 2010 menemukan pasukan jiran tetangga musuh tradisi dalam bola sepak Malaysia – Terengganu menentang Kelantan. Ironiknya ‘East Coast Derby’ kali ini dihidangkan lebih awal buat penyokong fanatik kedua-dua pasukan . Undian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada bulan Disember lalu menterjemahkan tidak lagi terjadi pada pertengahan saingan liga seperti mana musim lalu.
Bagi pengendali Kelantan, B.Sathianathan ini merupakan ujian sulung yang cukup getir. Tampil selaku finalist Piala Malaysia musim lalu, diatas kertas pengendali The Red Warriors itu boleh berbangga sebagai pasukan pertama yang disiapsiagakan untuk menghadapi musim baru.
Walaubagaimanapun, dikhabarkan The Red Warriors bakal ke Kuala Terengganu dengan beberapa pemain utama yang masih bergelut dengan kecederaan. Manakala persiapan pra musim – beberapa siri perlawanan persahabatan di Kota Bharu semenjak dua minggu lalu juga menghasilkan beberapa keputusan bersifat sederhana.
Untuk rekod, pertemuan musim lalu didalam Liga Super menyaksikan Kelantan menewaskan Terengganu 3-2 di Kota Bharu. Manakala aksi timbal balik di Kuala Terengganu pula berkesudahan Terengganu membalas dendam dengan kemenangan
Bagi jurulatih baru Sang Penyu, Irfan Bakti Abu Salim cukup optimis bahawa pasukan barunya mampu menumbangkan Kelantan di Kuala Terengganu. Diperkuatkan dengan kemasukan beberapa pemain baru seperti Joseph Kallang Tie (Sarawak), Tengku Hasbullah Raja Hassan (KL Plus), Helmi Remeli, K.Rajan (KM Naza), Mohd Firdaus Fauzi (Perlis), dan Ronny Harun (Kedah) – ianya dilihat sebagai pasukan yang cukup seimbang dari segenap posisi.
Manakala gandingan pemain sedia ada diketuai penjaga gol Sharbinee Allawee Ramli, Zairo Annuar Zailani (kapten), Abdul Manaf Mamat, Mohd Ashaari Shamsudin, Tengku Hazman Raja Hassan, Shahrizan Mohamad, Ahmad Alias Nordin – melengkapkan skuad ‘semi finalist Piala Malaysia' musim lalu hasil peninggalan bekas pengendali musim lalu – Kenneth Joseph Worden.
Bagi B.Sathianathan juga, tiada pilihan lain yang diharapkan selain mencatat keputusan positif biarpun beraksi di Kuala Terengganu . Setinggi harapan Sathianathan, tinggi lagi harapan penyokong setia Red Warriors untuk melihat langkah sulung Kelantan mengutip tiga mata diluar Kota Bharu. Umumnya, Sathianathan menyedari tekanan sebegini adalah lumrah dalam kancah bola sepak tempatan.
Melihat senarai ‘dream team’ Kelantan, kita mempunyai barisan pemain serba lengkap. Penjaga gol nombor tiga negara, Syed Adney Syed Hussien dilihat hampir pasti menjadi calon utama di pintu gol Kelantan. Diposisi pertahanan, Azizi Mat Rose cepat menyesuaikan diri membentuk gandingan mantap bersama Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Rizal Fahmi Abd. Rosid dan Mohd Zamri Ramli.
Bekas kapten musim lalu, Mohd Badhri Radzi bakal kembali bergandingan bersama kapten baru, Indra Putra Mahayuddin menjana jentera tengah Kelantan. Biarpun Mohd Norfarhan Muhammad dikhabarkan masih lagi bergelut dengan kecederaan, tetapi sentuhannya tetap ditagih. Nama Mohd Shakir Shaari bakal meniti dibibir peminat setia Kelantan andaikata sentuhannya ‘menjadi’ bergandingan bersama tiga orang pemain senior di posisi tengah ini.
Di posisi serangan, segalanya masih menjadi teka-teki. Siapakah yang menjadi pilihan Sathianathan untuk menjadi penggembur utama Kelantan nanti. Mampukah gandingan pemain veteran Hairuddin Omar – Akmal Rizal Ahmad Rakhli merobek pintu gol Terengganu. Pilihan juga terarah kepada Sathianathan samada mahu menyerap gandingan lama dan baru beraksi bersama. Pilihan kini turut terarah kepada penyerang muda yang berasal dari Pulau Pinang, S.Chanturu yang masih bergelut dengan kecederaan ataupun sempatkah Norshahrul Idlan Talaha menyesuaikan diri dalam tempoh sehari sekembali dari tugasan negara di Abu Dhabi nanti.
Hairuddin Omar dan Mohd Norfarhan Muhammad, dua anak jati berasal dari Terengganu, pasti cukup professional bersama Kelantan biarpun terpaksa menentang negeri kelahiran mereka sendiri.
B.Sathianathan memiliki sejumlah pemain bertaraf bintang didalam pasukan Kelantan – kadangkala boleh memeningkan kepalanya. Ada beberapa lagi senarai pemain yang mampu memikat hatinya – mungkin juga bintang muda S.Subramaniam, Zairul Fitree Ishak, Wan Zaman Wan Mustapa, Che Hisamuddin Hassan termasuk dalam senarai 18 pemain terakhir yang akan dibawa ke Kuala Terengganu.
Baik B.Sathianathan mahupun Irfan Bakti – kedua-duanya tetap melaungkan keyakinan bahawa enggan berkongsi mata apatah lagi kehilangan mata pertama musim ini. Terengganu mahu menang, Kelantan juga mahu menang.
Melihat pertembungan dua musuh tradisi ini – kita mengharapkan satu persembahan terbaik dipertontonkan oleh kedua-dua pasukan diatas padang sambil displin para penyokong juga harus berada ditahap terbaik. Buku lama pun sudah ditutup kini buka baru sudah dibuka. Satu ingatan terbaik betapa mentaliti penyokong kedua-dua pasukan juga harus diubah. Kalah, menang adat pertandingan. Terima lah apa jua keputusan dengan tangan terbuka.
berkesudahan seri.....
ReplyDelete