Wednesday, May 2, 2012

KELANTAN HAMPIRI PUSINGAN KEDUA

NAVIBANK SAIGON 1
Edison Fonseca Pulgarin (m-34)

KELANTAN 2
Indra Putra Mahayuddin (m-80)
Mohammad Ghaddar (m-83)

HO CHI MINH CITY – Laluan ke pusingan kedua terbentang luas untuk Kelantan setelah mengejutkan wakil Vietnam, Navibank Saigon 2-1 dalam aksi perlawanan peringkat kumpulan H, kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang berlangsung di Stadium Thong Nhat di sini petang semalam.

Dua gol dalam tempoh 10 minit terakhir menerusi jaringan bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin dan Mohammad Ghaddar mencetuskan kebangkitan The Red Warriors setelah dikejutkan dengan gol awal pasukan tuan rumah pada babak pertama perlawanan tersebut.

Kemenangan tersebut melonjakkan Kelantan di tangga teratas dengan mengumpul 10 mata dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri apabila bertemu Ayeyawady United dari Myanmar dalam perlawanan terakhir pada 8 Mei depan untuk mengesahkan tempat ke pusingan kedua.

Seawal m-18 perlawanan Kelantan mencemaskan pintu gol pasukan tuan rumah menerusi sepakan percuma Indra Putra namun rembatannya terus ke dakapan penjaga gol, Phan Van Santos.

Seminit kemudian giliran pemain Navibank Saigon, Luong Van Duoc Em pula menguji kehebatan Khairul Fahmi Che Mat di pintu gol Kelantan namun percubaannya jauh tersasar.

Pada m-24 perlawanan, penyerang tuan rumah, Edison Fonseca Pulgarin berjaya meledakkan jaringan namun gol tersebut dibatalkan oleh pengadil setelah beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid terlebih dahulu.

Begitu pun, penyerang berasal dari Brazil itu menutup kesilapan awalnya apabila menjaringkan gol pembukaan perlawanan 10 minit kemudian. Berpunca hantaran lintang Van Duoc Em ke dalam kotak penalti, Fonseca Pulgarin mudah menampan masuk untuk menewaskan Khairul Fahmi di pintu gol Kelantan.

Usaha pemain tuan rumah untuk menambahkan jaringan berterusan kali ini menerusi rembatan cantik Nguyen Thanh Long Giang di luar kotak penalti namun diselamatkan Khairul Fahmi pada m-41 perlawanan.

Minit-minit akhir perlawanan, Kelantan seharusnya menyamakan kedudukan namun Onyekachi Nwoha melepaskan peluang terbaik dimilikinya apabila melakukan rembatan liar di depan pintu gol tuan rumah.

Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah dilihat terus mendominasi perlawanan menerusi rangkaian jentera tengah yang diterajui Kapten, Phan Van Tai Van dan rakan sepasukannya.

Namun, Fonseca Pulgarin terus kempunan untuk menambahkan gol kedua bagi pasukannya apabila rembatan leret hasil situasi kelam-kabut di depan pintu gol Kelantan terlalu lemah dan mudah dikeluarkan oleh Obinna Nwaneri pada m-54 perlawanan.

Seminit kemudian, Fonseca Pulgarin sekali lagi gagal meletakkan bola ke dalam jaring apabila percubaannya tersasar di sebelah kiri pintu gol setelah Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Shakir Shaari melakukan kesilapan lambat mengeluarkan bola.
  
Di sebalik dua percubaan awal pasukan tuan rumah itu, Kelantan kembali memperkemaskan corak permainan mereka dan mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Indra Putra pada m-59 perlawanan namun sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol.

Indra Putra terus menyemarakkan semangat juang rakan sepasukannya apabila menjaringkan gol penyamaan menerusi situasi bola mati. Sepakan percumanya tepat menerjah jaring sebelah kanan dan hanya mampu diperhatikan oleh Van Santos sahaja pada m-80 perlawanan.  

Mohammad Ghaddar melengkapkan kejayaan bermakna Kelantan apabila menjaringkan gol kemenangan tiga minit kemudian. Umpanan pendek Norshahrul Idlan Talaha dimanfaatkan Mohammad Ghaddar dengan memperdayakan dua pemain tuan rumah sebelum menguis masuk melepasi jangkauan Van Santos dalam perlawanan malam tadi.

Minit-minit akhir masa tambahan, Indra Putra terlepas peluang untuk menjarakkan kedudukan Kelantan apabila tolakannya hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Navibank Saigon meski pun pemain pertahanan dan penjaga golnya sudah tertewas di posisi masing-masing.

Kesebelasan utama pemain :

NAVIBANK SAIGON : Phan Van Santos, Nguyen Thanh Long Giang, Nguyen Duy Khanh, Doan Viet Cuong, Luong Van Duoc Em (Nguyen Cao Thien), Nguyen Minh Triet, Dinh Vu Han Phong, Ekpe Aniekan Okon Ekpe (Doan Van Nirut), Phan Van Tai Em (KP), Nguyen Van Nghia (Cao Quang Huong) dan Edison Fonseca Pulgarin.

FORMASI : 4-4-2

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Obinna Nwaneri, Mohamad Zamri Ramli, Mohd Farisham Ismail, Mohd Shakir Shaari (KP), Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad (Mohammad Ghaddar), Dennis Antwi (Mohd Nurul Azwan Roya) dan Onyekachi Nwoha (Norshahrul Idlan Talaha).

FORMASI : 4-2-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Navibank Saigon (5) Kelantan (4)
Percubaan tersasar : Navibank Saigon (6) Kelantan (2)
Sepakan penjuru : Navibank Saigon (5) Kelantan (3)
Sepakan percuma : Navibank Saigon (14) Kelantan (14)
Ofsaid : Navibank Saigon (4) Kelantan (2)
Kekasaran : Navibank Saigon (10) Kelantan (11)
Kad kuning : Navibank Saigon (Nguyen Duy Khanh dan Nguyen Van Nghia)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :   Lima minit
Penguasaan bola : Navibank Saigon (52%) Kelantan (48%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Sukhbir Singh (Singapura)
Penolong Pengadil 1: K Surindranath (Singapura)
Penolong Pengadil 2: Lim Kok Heng (Singapura)
Pegawai Keempat : Muhammad Taqi AlJaafari Jahari (Singapura)
Kommissioner Perlawanan : Salman Al Namshan (Arab Saudi)

JANJI SAINGAN SENGIT

HO CHI MINH CITY (Vietnam) – Kelantan menjanjikan tentangan sengit apabila turun bertemu wakil Vietnam, Navibank Saigon dalam perlawanan kelima peringkat kumpulan H kempen Piala Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Thong Nhat, di sini petang ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, walaupun kehilangan khidmat Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi yang terpaksa disisihkan ekoran masalah kecederaan ketika bertemu Kedah dalam aksi separuh akhir Piala FA tempohari, namun itu tidak menjejaskan persiapan pasukannya.

“Kita kehilangan Mohd Badhri (Radzi) tetapi saya tidak ada masalah mencari pengganti beliau. Indra Putra (Mahayuddin) akan mengemudi jentera tengah Kelantan berdasarkan pengalaman luas dimilikinya,” katanya dalam sidang media di sini pagi semalam.

“Pertemuan ini pasti sengit kerana kedua-dua pasukan sememangnya memerlukan kemenangan bagi mencerahkan peluang ke pusingan kedua. Memang kita mengharungi minggu yang memenatkan tetapi saya berharap itu tidak menjejaskan aksi pemain di sini.

“Saya lihat pasukan lawan mempunyai kekuatan di bahagian tengah dan kita harus menyekat pergerakan pemain mereka. Kalau itu mampu kita lakukan, saya fikir kita tidak ada masalah untuk meraih tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya.

Menurut pengendali dari Croatia itu, kemenangan itu cukup penting bagi mengukuhkan kedudukan Kelantan sebelum menghadapi Ayeyawady United dari Myanmar pada perlawanan terakhir di Kota Bharu pada 8 Mei ini.

Pertemuan Navibank Saigon menentang Kelantan akan berlangsung jam enam petang waktu tempatan di sini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Navibank Saigon, Pham Cong Loc berkata, barisan pemainnya tidak akan sewenang-wenangnya memberi laluan mudah kepada Kelantan untuk menewaskan mereka di tempat sendiri.

“Sama seperti Kelantan, kami juga mahu memenangi perlawanan ini. Kami tidak mahu menyempitkan laluan kerana hanya kemenangan sahaja dilihat menjamin peluang kami untuk ke pusingan kedua,” katanya.

Untuk rekod, selepas empat perlawanan, Kelantan, Navibank Saigon dan Ayeyawady United masing-masing kini berkongsi tujuh mata namun dibezakan dengan jumlah jaringan bolos.

Saturday, April 21, 2012

RED WARRIORS DI LANDASAN TEPAT

KOTA BHARU – Tiga mata yang diraih setelah mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas T-Team membuktikan Kelantan kini berada di landasan yang tepat untuk mempertahankan kejuaraan sebaik sahaja mengharungi aksi perlawanan pusingan kedua Liga Super malam semalam.

Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak mengakui cukup gembira dengan kebangkitan anak buahnya di tempat lawan setelah mempamerkan aksi hambar sehingga terpaksa berkongsi mata dengan pasukan berstatus kelab itu di Kota Bharu Sabtu lalu.

“Secara keseluruhannya saya gembira dengan kemenangan ini. Tiga mata yang diperolehi ini membuktikan keupayaan kita sebenarnya. Tetapi saya akui pemain kita boleh beraksi lebih baik daripada perlawanan malam tadi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Babak pertama menyaksikan aksi seimbang kedua-dua pasukan namun kita seharusnya selesa berada di depan kalau tidak dua peluang terbaik yang dimiliki Kapten, Mohd Badhri (Radzi) dan Mohammad Ghaddar menemui sasaran.

“Separuh masa kedua memang tempo permainan cukup tinggi. Gol pasukan T-Team seharusnya tidak terhasil kalau kita mengawal ketat pemain tuan rumah. Selepas ketinggalan satu gol, barulah kita bangkit melawan sehinggalah S Chanturu menghasilkan jaringan cantik untuk Kelantan,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, tuan rumah terlebih dahulu berada di depan hasil tandukan Khairul Izwan Khalid pada m-52 sebelum S Chanturu menyamakan kedudukan menerusi rembatan cantik dari jarak 30 meter pada m-67 perlawanan.

Tindakan pemain T-Team, Bojan Petric menampan bola dengan sengaja di dalam kotak penalti pada m-88 perlawanan mengundang padah apabila pengadil memberikan sepakan penalti kepada Kelantan. Pemain import, Mohammad Ghaddar mudah merembat masuk untuk gol kemenangan Kelantan dalam perlawanan tersebut.

Sementara itu, Hodak turut mengakui jentera serangan Kelantan masih perlu diperbaiki memandangkan gandingan Mohd Norfarhan Muhammad dan Mohammad Ghaddar belum menampakkan keserasian dalam perlawanan tersebut.

“Anda kena tahu Mohammad Ghaddar baru kembali ke dalam Liga Super. Atmosferanya pasti berbeza dengan saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia. Masih lagi kurang persefahaman (gandingan dengan Mohd Norfarhan) dan saya faham situasi ini. Itu perkara biasa dan tidak ada apa-apa yang harus dibimbangkan.

“Matyo (Norshahrul Idlan Talaha) saya beri peluang beraksi selama 45 minit. Beliau kini dalam proses meningkatkan tahap kecergasan setelah dua bulan tidak beraksi. Apex (Khairul Fahmi Che Mat) beraksi cemerlang dan saya tidak ada apa-apa komen mengenai beliau,” katanya.

Kemenangan tersebut membolehkan The Red Warriors kekal di tangga kedua dengan 31 mata di belakang pendahulu, Lions XII dengan perbezaan lima mata namun wakil Singapura itu bermain lebih tiga perlawanan berbanding Kelantan.

Sunday, April 1, 2012

RED WARRIORS KENDURI GOL

 Kesebelasan utama pasukan Kelantan yang diturunkan oleh Bojan Hodak ketika membelasah Felda United FC 5-1 di Kota Bharu, malam semalam.

 Nwoha sempat melepaskan rembatan meski pun cuba dihalang pemain Felda United FC, Khairan Eruan dalam aksi pertemuan malam semalam.

Kapten, Mohd Badhri memeluk Indra Putra setelah bekas pemain kebangsaan itu meledak gol ketiga kelantan dalam pertemuan dengan Felda United FC, malam semalam .

KELANTAN 5
Onyekachi Nwoha (m-2, 45+1)
Mohd Norfarhan Muhammad (m-65)
Indra Putra Mahayuddin (m-66)
Mohd Badhri Radzi (m-81)

FELDA UNITED FC 1
Mohd Azrul Ahmad (m-4)

KOTA BHARU – Gelaran pendahulu liga kekal milik The Red Warriors apabila berkenduri gol dengan membelasah pasukan di tangga kedua tercorot, Felda United FC 5-1 dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Seawal minit kedua perlawanan Kelantan berada di depan apabila Onyekachi Nwoha berjaya merembat masuk menewaskan penjaga gol Felda United FC, Mohd Hamsani Ahmad hasil umpanan pendek Mohd Norfarhan Muhammad di dalam kotak penalti.

Kegembiraan pemain tuan rumah tidak bertahan lama apabila pasukan pelawat bangkit menyamakan kedudukan dua minit kemudian. Kegagalan bek kiri, Zairul Fitree Ishak mengeluarkan bola di depan pintu gol dihukum menerusi rembatan kencang Mohd Azrul Ahmad menewaskan Mohd Shahrizan Ismail di pintu golnya.  

Dua peluang terbaik Kelantan hadir pada m-15 apabila berlaku situasi kelam-kabut di depan pintu gol Felda United namun rembatan leret Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid tersasar di sebelah kiri manakala sepakan percuma mengelirukan oleh Zairul Fitree enam minit berselang sempat ditepis keluar Mohd Hamsani.

Di sebalik asakan hebat pemain tuan rumah, pasukan Felda United FC turut mencuri peluang untuk mendahului namun penyerang kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani yang menerima umpanan cantik daripada Yong Kuong Yong gagal menewaskan Mohd Shahrizan di pintu gol Kelantan pada m-37 perlawanan.

Tiga minit kemudian, Kuong Yong mensia-siakan peluang terbaik yang dimilikinya apabila gagal menyambar bola hantaran lintang Mohd Farid Ramli meski pun Mohd Shahrizan sudah tertewas di posisinya.

Minit-minit akhir babak pertama, Nwoha sekali lagi membuktikan sentuhan berbisanya apabila menjaringkan gol kedua peribadi dalam perlawanan malam tadi. Rembatan derasnya di dalam kotak penalti terbias pemain pertahanan, Mohd Nazri Ahmad sebelum bola menerjah jaring untuk mengelirukan Mohd Hamsani di pintu golnya.

Babak kedua menyaksikan Kelantan mendominasikan keseluruhan perlawanan bermula menerusi sepakan percuma Zairul Fitree pada m-50 namun sedikit melewati pintu gol Felda United FC.

Detik ‘kenduri gol’ akhirnya menjelmakan pada m-65 perlawanan apabila Mohd Norfarhan memanfaatkan percubaan awal Indra Putra Mahayuddin yang terkena tiang dengan menolak masuk untuk gol ketiga Kelantan.

Derita pasukan pelawat terus berganda apabila giliran bekas pemain kebangsaan, Indra Putra pula mencetak nama selaku penjaring gol keempat Kelantan dalam perlawanan malam tadi.

Berpunca gerakan menarik S Chanturu yang melorongkan bola ke dalam kotak penalti, Indra Putra bijak melepasi kekangan pemain pertahanan lawan sebelum merembat kencang menewaskan Mohd Hamsani.

Gerakan menarik di antara Mohd Badhri Radzi dan Mohd Norfarhan pada m-78 perlawanan hampir membuahkan hasil namun rembatan Ketua Pasukan Kelantan itu sempat dikuis keluar oleh Mohd Hamsani.

Namun Mohd Badhri melengkapkan malam yang sungguh bermakna bagi Kelantan apabila menjaringkan gol kelima tiga minit kemudian. Gerakan solonya dari tengah padang berakhir apabila rembatan cantik dari jarak 30 meter gagal diselamatkan Mohd Hamsani.

Pemain pertahanan, Obinna Nwaneri hampir menjaringkan gol keenam untuk Kelantan namun tandukannya pada m-87 perlawanan terkena tiang sementara percubaan Indra Putra yang diselamatkan Mohd Hamsani dua minit kemudian menutup aksi bergaya kemenangan terbesar Kelantan dalam 11 perlawanan Liga Super setakat ini.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Daudsu Jamaluddin, Obinna Nwaneri,  Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya (Mohamad Zamri Ramli), Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Radzi (KP), Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad (Mohd Shahiran Md Zain) dan Onyekachi Nwoha (S Chanturu).

FORMASI : 4-2-2

FELDA UNITED FC : Mohd Hamsani Ahmad (KP), Muhammad Nazri Ahmad, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Farid Ramli, Mohd Nizam Abu Bakar, S Sivenasan (Mohd Lot Abu Hasan), Khairan Eruan Razali, Ahmad Fakri Saarani, Mohd Nizab Ayub (Muhammad Juzaili Samion), Yong Kuong Yong dan Mohd Azrul Ahmad.

FORMASI : 4-5-1

STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (8) Felda United FC (1)
Percubaan tersasar : Kelantan (8) Felda United FC (5)
Sepakan penjuru : Kelantan (8) Felda United FC (3)
Sepakan percuma : Kelantan (15)  Felda United FC (17)
Ofsaid : Kelantan (7) Felda United FC (4)
Kekasaran : Kelantan (10) Felda United FC (11)
Kad kuning : Kelantan (Mohd Shakir Shaari dan Zairul Fitree Ishak) Felda United FC (Khairan Eruan Razali dan Mohd Nizam Abu Bakar)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :   Lima minit
Penguasaan bola : Kelantan (60%) Felda United FC (40%)

PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Shamsudin Ibrahim
Penolong Pengadil 1: Azman Ismail
Penolong Pengadil 2: Sabarudin Abdullah
Pegawai Keempat : Mohd Ezanee Said
Kommissioner Perlawanan : S Selearajan
General Koordinator : Arif Hassan

PENYOKONG RED WARRIORS BANTAH FAM

Sebahagian penyokong The Red Warriors mengadakan perhimpunan aman membantah tindakan FAM terhadap Annuar di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang semalam.

KOTA BHARU – Episod kemarahan penyokong The Red Warriors terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)  semakin memuncak apabila lebih 500 penyokong mereka mengadakan perhimpunan secara aman di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang semalam.  

Perhimpunan tersebut sebagai membantah tindakan badan induk bola sepak kebangsaan itu yang mahu menggantungkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa ekoran kritikan beliau terhadap prestasi skuad kebangsaan baru-baru ini. 

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu, Mohd Zainy Mohd Zain menyifatkan terdapat ‘tangan-tangan ghaib’ yang berusaha untuk menyingkirkan Annuar daripada terus memegang jawatan di dalam badan induk bola sepak kebangsaan itu. 

“Lebih menyulitkan keadaan apabila tuanku presiden (Sultan Ahmad Shah) sendiri bertitah dengan mengatakan kesalahan yang dilakukan oleh Annuar itu amat besar. Tindakan ini dilihat mendahului keputusan jawatankuasa disiplin yang hanya akan bersidang pada Rabu ini. 

“Sudah tentu titah tuanku presiden akan diambil kira oleh jawatankuasa disiplin dan akan mempengaruhi keputusan yang akan dibuat nanti. Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana proses perbicaraan sendiri belum dilaksanakan. 

Nasib Annuar hanya diketahui apabila Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan oleh Datuk Taufik Abdul Razak bersidang di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu ini bagi mendengar pertuduhan yang dikemukakan ke atas beliau. 

Menurut Mohd Zainy, tindakan tersebut menunjukkan berlakunya prejudis dan memberi gambaran awal bahawa Annuar secara terang-terang sudah didapati bersalah serta bakal berhadapan dengan hukuman yang berat selepas ini. 

“Kami menentang sekeras-kerasnya campur tangan pihak tertentu dalam kes ini. Kami akan berdiri teguh dan terus memberi sokongan kepada Presiden kami,” katanya.

Thursday, March 15, 2012

KELANTAN MASIH TERCARI RENTAK

KOTA BHARU – Aksi longlai skuad Piala Presiden Kelantan ketika menewaskan pasukan berstatus kelab, Johor Melodi Jaya 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dua hari lalu ternyata meresahkan pihak pengurusannya.

Ketika saingan Liga Piala Presiden sudah memasuki pertengahannya, skuad yang terkenal dengan jolokan The President Warriors itu seakan tercari-cari rentak permainan yang sebenar meski pun sudah mengharungi 10 perlawanan setakat ini.

Hakikat ini diakui sendiri oleh Penolong Pengurus Pasukannya, Nasrul Hadi Kamaruzaman yang menyifatkan situasi tersebut tidak harus berlaku kepada juara bertahan musim lalu andai tidak mahu terus berada dalam zon bahaya bagi merebut slot ke suku akhir nanti.

“Memang kita menang 2-0 dalam perlawanan ini tetapi banyak peluang yang terhidang gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain kita. Sepatutnya kita boleh menang lebih besar ke atas pasukan berstatus kelab dari Johor ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian sejurus perlawanan berakhir.

“Kepincangan di bahagian serangan terus menghantui pasukan ini. Ketiadaan empat pemain yang digantung kerana menerima kad kuning dalam perlawanan sebelum ini turut memberi kesan kepada persembahan keseluruhan pasukan kita.

Malah Nasrul Hadi menganggap faktor kurang cergas pemainnya rentetan kekurangan latihan di samping terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat pada saingan musim ini turut memberi kesan prestasi pasukan Kelantan.

Dalam perkembangan lain, Nasrul Hadi turut berharap skuad kendalian Mohd Hashim Mustapha itu dapat merebut peluang meraih enam mata dalam dua perlawanan terakhir pusingan pertama liga meski pun bertandang ke gelanggang lawan dalam tempoh seminggu ini.

“Kita tidak mempunyai pilihan selain perlu mencipta kemenangan apabila bertemu pasukan kedua tercorot, Melaka pada Khamis ini diikuti Johor MBJB pada Isnin depan bagi mengukuhkan kedudukan dalam carta liga.

“Ketika ini saingan liga cukup sengit kerana jurang mata di antara setiap pasukan terlalu kecil. Amat penting bagi kita menamatkan saingan pusingan pertama dengan enam mata ini bagi mencerahkan laluan ke saingan suku akhir nanti,” katanya.

Justeru, Nasrul Hadi berharap kehadiran semula penyerang, Mohd Aris Zaidi dan beberapa tonggak utama diharap dapat menyuntik semangat rakan sepasukan yang lain bagi melengkapkan misi memburu mata penuh ke atas pasukan Melaka dan Johor MBJB itu nanti.

Tuesday, March 13, 2012

MENANG DALAM AKSI HAMBAR

Pemain Kelantan, Tuan Muhammad Faim Tuan Zainal Abidin (kanan) dikepung tiga pemain Johor Melodi Jaya dalam aksi perlawanan yang berkesudahan Kelantan menang 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang semalam.

KELANTAN 2
Mohd Shahiran Md Zain (m-6, 82)

JOHOR MELODI JAYA 0

KOTA BHARU – Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri gagal dimanfaatkan oleh Kelantan apabila sekadar mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Johor Melodi Jaya dalam aksi perlawanan Liga Piala Presiden yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang semalam.

Dua gol menerusi jaringan penyerang muda, Mohd Shahiran Md pada awal babak pertama dan kedua berjaya menutup kelemahan The President Warriors yang dilihat mempamerkan aksi hambar sepanjang aksi 90 minit perlawanan menentang pasukan berstatus kelab itu.  

Ketiadaan empat pemain tonggak yang menjalani penggantungan satu perlawanan begitu dirasakan apabila tidak banyak gerakan merbahaya dicetuskan oleh anak buah Mohd Hashim Mustapha sehingga aksi yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan begitu membosankan.

Gol pertama Kelantan hadir seawal minit keenam perlawanan menerusi rembatan kencang Mohd Shahiran yang menewaskan penjaga gol Johor Melodi Jaya, Jagen Jayara setelah menerima umpanan cantik daripada Mohd Norsyahrul Hawari Hanafi dari penjuru kanan padang.

Begitu pun, pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan pada m-38 perlawanan menerusi percubaan Mohd Fakinin namun rembatannya sekadar menggegarkan palang tatkala penjaga gol Kelantan, Muhammad Syazwan Yusof sudah pun tertewas di posisinya.

Babak kedua menyaksikan Kelantan menguasai perlawanan namun ketumpulan jentera serangan sekali lagi menafikan hasrat The President Warriors untuk berpesta gol ke atas kelab dari Johor itu.

Satu-satunya peluang terbaik Kelantan hadir pada m-58 perlawanan menerusi gerakan menarik Mohd Shahiran namun tampanan kurang kemas pemain gantian, Mohd Akid Ramli menyaksikan Jagen Jayara mudah mematahkan percubaan tersebut.

Mohd Shahiran menamatkan keresahan hampir 300 penyokong setia Kelantan apabila menjaringkan gol kedua pada m-82 perlawanan. Hantaran lintang Muhammad Azmi Hamzah bijak disempurnakan Mohd Shahiran menerusi rembatan rendah mengelirukan Jagen Jayara di pintu golnya.

Namun seminit kemudian, Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pemain tengah, Mohamad Zabeel Mat Noor diperintahkan keluar padang. Tindakan Mohamad Zabeel mengkasari pemain lawan, Mohamad Syahbani mengakibatkannya dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil perlawanan.

Dua minit sebelum perlawanan berakhir, Kelantan sekali lagi terlepas peluang untuk menambahkan jaringan apabila rembatan Mohd Akid hanya tersasar beberapa meter di sebelah kanan pintu gol pasukan Johor Melodi Jaya.