Monday, May 31, 2010

KELANTAN TERUS MENGEJAR


KOTA BHARU – Kejayaan Kelantan menewaskan Pulau Pinang 3-1 pada perlawanan Liga Super di Stadium Negeri Batu Kawan malam semalam, meletakkan Kelantan kembali ke landasan yang tepat dalam mengejar kejuaraan liga musim ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan ternyata cukup gembira dengan kemenangan itu setelah Kelantan dipaksa ‘ketinggalan’ satu gol pada suatu ketika.

“Bermain bola sepak dalam keadaan hujan lebat dan padang yang becak bukanlah satu persembahan yang menarik untuk dipertontonkan. Kita memulakan aksi cemerlang pada 15 minit pertama sebelum persembahan kita kembali mendatar dengan pemain kerap hilang punca disamping gagal mengekalkan disiplin di atas padang,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kita kembali bangkit pada separuh masa kedua dengan mempamerkan persembahan yang bertenaga. Kita seharusnya mampu memperolehi lebih daripada tiga gol pada perlawanan itu.

“Pemain kita mungkin sedikit kepenatan setelah menghadapi dua perlawanan dalam tempoh lima hari disamping terpaksa bermain dalam hujan yang lebat. Walaubagaimanapun, saya tetap berpuashati dengan persembahan pemain saya. Mereka kembali menunjukkan persembahan yang cemerlang setelah seri dengan Kedah tempohari,”katanya.

Pada perlawanan malam semalam, Pulau Pinang terlebih dahulu mendahului Kelantan melalui jaringan Mohd Failee Ghazali pada minit ke-22.

Kelantan terpaksa menunggu sehingga minit ke-66 untuk menyamakan kedudukan melalui jaringan Hairuddin Omar sebelum penyerang berbisa, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menambah gol kedua Kelantan pada minit ke-75.

Pemain gantian, Che Hisamuddin Hassan memastikan derita pasukan tuan rumah berpanjangan apabila menjaringkan gol ketiga The Red Warriors pada minit ke-88 perlawanan.

Menurut Sathianathan, tegurannya kepada pemain pada waktu rehat separuh masa pertama menampakkan perubahan yang cukup ketara sebaik babak kedua bersambung .

“Saya mengarahkan pemain saya menukar corak serangan dengan bermain dengan lebih laju disamping memastikan hantaran dilakukan dengan tepat. Ternyata pemain mengikuti arahan itu dan mereka kembali menemui rentak seterusnya menguasai sebahagian babak kedua perlawanan.

Tanpa berselindung, B Sathianathan turut memuji persembahan beberapa pemain gantian seperti Hairuddin Omar, Khairan Eroza Razali dan Cik Hisamuddin Hassan selain Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang diturunkan sepenuh masa pada perlawanan itu.

 Aksi Hairuddin Omar

“Mereka memanfaatkan peluang yang ada walaupun diturunkan sebagai pemain gantian. Sesuatu yang anda harus tahu bahawa pemain simpanan yang kita ada mempunyai keupayaan yang seimbang dengan pemain yang berada didalam kesebelasan utama. 

“Kita mempunyai Norshahrul Idlan (Talaha) yang mengetuai senarai penjaring gol terbanyak Kelantan, tetapi itu tidak bermakna kita harus bergantung kepada dia seorang sahaja untuk menjaringkan gol. Pemain-pemain lain harus mengambil tanggunggjawab yang sama, dan saya berpuashati apabila ketiga-tiga gol pada perlawanan malam semalam dijaringkan oleh pemain yang berbeza,” katanya.

Thursday, May 27, 2010

KITA MASIH ADA PELUANG : SATHIANATHAN



KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan tidak menganggap keputusan seri tanpa jaringan dengan Kedah pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam semalam membantut hasrat Kelantan untuk memburu kejuaraan liga pada musim ini.

Sebaliknya, B Sathianathan secara positif  tetap mempertahankan prestasi cemerlang anak buahnya meskipun sekadar mencatatkan keputusan seri dengan pasukan tuan rumah.

“Keputusan seri ini saya rasa adil bagi walaupun kedua-dua pasukan turun dengan misi yang berbeza untuk mencatatkan kemenangan,”katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

“Persembahan kita pada separuh masa pertama kurang baik, banyak hantaran kurang tepat dilakukan oleh pemain kita. Walaubagaimanapun, kita berjaya menemui kembali rentak permainan pada separuh masa kedua.

“Sekurang-kurangnya empat peluang yang terhidang pada separuh masa kedua disia-siakan oleh jentera serangan Kelantan. Saya kira kegagalan kombinasi bahagian serangan dan tengah memanfaat peluang tersebut menafikan peluang kita untuk mengutip tiga mata di Alor Setar.

Menurut Sathianathan, pemain Kelantan mungkin sedikit tertekan dengan kedudukan Kelantan ditangga kedua liga yang kini sedikit ketinggalan daripada pendahulu liga, Selangor dengan kelebihan lapan mata dihadapan.

“Pemain mungkin kecewa dengan keputusan seri ini, tetapi saya ingatkan kepada pemain saya, usah pedulikan dengan reputasi Selangor pada ketika ini. Apa yang penting, kita perlu mengekalkan momentum kemenangan pada setiap perlawanan melibatkan pasukan kita dan bukannya pasukan lain.

“Kita masih ada baki lapan lagi perlawanan yang perlu diharungi. Apa-apa pun boleh terjadi sepanjang saingan liga ini. Baik pasukan Selangor mahupun pasukan lain, saingan masih lagi terbuka dan peluang Kelantan tidak boleh kita katakan sudah tertutup.

“Cuma yang penting kita perlu sentiasa konsisten pada setiap perlawanan. Saya tidak mahu kita main bagus pada separuh masa pertama, kemudian persembahan merosot pada separuh masa kedua. Saya mahu anak-anak buah saya terus mengekalkan prestasi cemerlang sepanjang 90 minit perlawanan,’ katanya.

Ditanya mengenai persiapan pasukan menjelang pertemuan menentang Pulau Pinang pada Sabtu ini, Sathianathan berkata, beliau akan melakukan sedikit rombakan pada pertemuan dengan Pulau Pinang nanti.

“Indra Putra (Mahayuddin) terpaksa diketepikan kerana digantung satu perlawanan setelah mengutip tiga kad kuning. Tambahan pula dia mengalami kecederaan setelah dibentes oleh penjaga gol Kedah pada perlawanan malam semalam. 

Khidmat ketua pasukan Indra Putra Mahayuddin terpaksa
diketepikan kerana digantung satu perlawanan.

Kafe TRWS satu mercu tanda baru Kafa

Annuar (dua dari kanan) bersama Ahmad Shabery dan menunjukkan
produk keluaran Kafa yang dijual di kafe TRWS@KTC.
 
KOTA BHARU – Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berharap pembukaan rasmi kafe The Red Warrior Station@KTC dan pelancaran radio rasmi The Red Warriors (TRW.fm) mampu menjadi sebahagian daripada titik tolak kepada kebangkitan bola sepak Kelantan pada tahun ini.

“Perasmian kafe ini dan perlancaran radio TRW.fm membuktikan satu lagi kejayaan pihak Kafa dalam merakyatkan sukan bola sepak di negeri Kelantan,” katanya sewaktu berucap.

“Siaran radio TRW.fm ini boleh didengar seantero dunia kerana kita sebenarnya mempunyai ramai peminat bola sepak Kelantan yang tinggal diseluruh pelusuk dunia.

“Sebelum ini, kita pernah melancarkan kelab-kelab penyokong diseluruh daerah di negeri Kelantan, di Lembah Kelang mahupun di Kedah dan juga Perak. Menarik lagi kita juga mempunyai laman web rasmi theredwarrior.com dan laman web penyokong siber iaitu Kelate.net.

“Laman web rasmi theredwarrior.com kini menjadi laman web paling popular di negara kita kerana mencatatkan jumlah pengunjung yang begitu tinggi setakat ini,’katanya.

Annuar berkata, kejayaan Kelantan menduduki tangga kedua liga setakat ini menunjukkan usaha gigih pihak Kafa untuk memastikan hasrat merangkul kejuaraan liga pada musim ini tercapai.

“Kita merupakan pasukan yang tidak pernah tewas, kecuali sekali di Kota Bharu angkara gol sendiri. Kita juga tidak pernah tewas apabila bermain di gelanggang luar. Insya Allah, kita mampu mengekalkan kecemerlangan ini.

Menyentuh mengenai kewujudan kafe itu, Annuar berkata, pihak Kafa bercadang membuka satu cawangan di Lembah Kelang dan mungkin juga di Manchester United, England sekiranya ianya mendapat sambutan menggalakkan.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Siti Hamidah Hamat, selaku Pengarah Urusan TRWS@KTC yang berjaya membuka kafe ini. Juga ucapan terima kasih saya kepada Exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri Kelantan, Abdul Fatah Mahmood yang banyak membantu pihak Kafa selama ini,”katanya.

Sunday, May 23, 2010

KELANTAN BAHAM SINGA UTARA

Pemain Kelantan meraikan gol pertama menerusi sepakan penalti Norshahrul Idlan Talaha

KELANTAN
Norshahrul Idlan Talaha (pen m-29)
S Chanturu (m-34)

PERLIS 1
Wan Khairul Faiz Kamaruddin (m50)

KOTA BHARU – Kelantan mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Perlis pada perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.

Biarpun beraksi dihadapan hampir 25,000 penyokong sendiri, aksi lesu pemain Kelantan hampir mengundang padah apabila pasukan pelawat dilihat menguasai hampir keseluruhan permainan babak kedua.

Minit-minit awal permainan menyaksikan penguasaan pasukan tuan rumah yang mengasak bertali arus menerusi rangkaian Norshahrul Idlan Talaha dan S Chanturu.

Minit ke-10, sepakan percuma Muhd Badhri Radzi sekadar terus ke dakapan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias. Sementara percubaan Mohd Daudsu lima minit kemudian juga mudah diselamatkan oleh penjaga gol Perlis itu.

Kelantan berada dihadapan pada minit ke-29 menerusi sepakan penalti yang mudah disempurnakan oleh Norshahrul Idlan Talaha.

Tindakan ketua pasukan Perlis, Mohd Fauzie Nan menjatuhkan Mohd Norfarhan Muhammad dalam kotak penalti memaksa pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti itu kepada pasukan tuan rumah.  

Minit ke-34, S Chanturu sekali lagi menceriakan penyokong Merah Putih apabila meledak gol kedua untuk Kelantan. Gol tersebut terhasil apabila hantaran lintang Mohd Daudsu dari sebelah kiri pintu gol Perlis mudah disempurnakan menerusi rembatan jarak jauh beliau.

Sementara pada minit -38, rembatan Mohd Norfarhan Muhammad pula mudah ditepis keluar oleh Mohd Farizal Marlias.

Bersambung babak kedua, segalanya terserlah apabila  aksi lesu pemain Kelantan yang dilihat gagal mengawal tempo permainan membolehkan pasukan pelawat menguasai babak permainan.

Hasilnya pada minit ke-50, pasukan Singa Utara berjaya merapatkan jurang gol menerusi rembatan jarak dekat Wan Khairul Faiz Kamaruddin yang berjaya melepasi kekangan pertahanan Kelantan.

Minit ke-72, percubaan Mohd Faiz Subri  hanya tersasar beberapa inci daripada pintu gol Kelantan.

Sementara itu, minit ke-75,  Mohd Azrul Ahmad turut berpeluang untuk menyamakan kedudukan tetapi rembatannya sedikit tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Percaturan B Sathianathan memasukkan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Hairuddin Omar dilihat tidak banyak membantu jentera serangan Kelantan dalam usaha menambah jaringan.

Percubaan terakhir Kelantan menerusi pemain gantian, Hairuddin Omar pada minit ke-88 menerusi tandukan yang tersasar menutup tirai kemenangan mutlak Kelantan ke atas Singa Utara malam tadi.

Kemenangan 2-1 ke atas Perlis itu menyaksikan Kelantan kekal menghuni tangga kedua liga dengan mengumpul 38 mata mengekori rapat pendahulu liga, Selangor yang mengumpul 44 mata setakat ini.

Ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin cuba melepasi kekangan
Mohd Fauzie Nan dan Mohd Hazrul Mustafa.

KESEBELASAN UTAMA PEMAIN :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Azizi Matt Rose (Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid), S Subramaniam, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham Ismail, Mohd Shakir Shaari Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Norfarhan Muhammad, Muhd Badhri Radzi (Akmal Rizal Ahmad Rakhli), S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha (Hairuddin Omar).

Formasi : 4-4-2

PERLIS : Mohd Farizal Marlias, Mohd Faiz Subri (Wan Mohd Shukri Wan Ahmad), Mohd Fauzie Nan (KP), Zuraindey Jumai, Mazlizam Mohamad, Amar Rohidan, Mohd Badrul Azam Zamri (Shariman Che Omar), K Soley, Mohd Hazrul Mustafa, Wan Khairul Faiz, dan  Ahmad Aminuddin (Mohd Azrul Ahmad).

Formasi : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (5) Perlis (1)
Percubaan tersasar : Kelantan (3) Perlis (4)
Sepakan sudut : Kelantan (13) Perlis (2)
Sepakan percuma : Kelantan (9) Perlis (10)
Offsaid : Kelantan (2) Perlis (2)
Kekasaran : Kelantan (8) Perlis (7)
Kad kuning : Kelantan (Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Daudsu Jamaluddin)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Lima minit
Penguasaan bola : Kelantan ( 55%) Perlis (45 %)

Wednesday, May 19, 2010

Kafe TRWS@KTC bakal dirasmikan 21 Mei ini

Tan Sri Annuar Musa bergambar dihadapan kafe The Red Warriors Station@KTC

KOTA BHARU – Kewujudan Kafe The Red Warriors Stations@KTC satu lagi mercu tanda baru Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi mendekatkan diri dengan peminat bola sepak Kelantan bersesuaian dengan Tahun Bola Sepak Kelantan (TBSK) 2010.

Kafe yang dinamakan The Red Warriors Stations@KTC itu terletak di bangunan Pusat Perdagangan Kelantan bakal menjadi medan himpun temu diantara peminat bola sepak dengan pemain bola sepak Kelantan.

Pengerusi Merchandise dan Outlet Kafa, Azlan Mohd Yusoff berkata, kafe The Red Warriors Stations@KTC itu akan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek pada 21 Mei ini jam 11 malam bertempat di Pusat Perdagangan Kelantan (KTC), Kota Bharu.

“Kafe ini akan beroperasi sepenuhnya bermula pada 22 Mei dan kita berharap peminat bola sepak Kelantan dapat memberi sokongan diatas pembukaan rasmi kafe ini,”katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

Azlan berkata, peminat bola sepak Kelantan juga berpeluang mendapatkan pelbagai produk Warriors keluaran Kafa seperti jersi, beg, pemegang kunci yang dijual pada satu sudut dalam kafe itu.

"Disamping pelbagai produk keluaran Kafa, kafe ini juga menyediakan pelbagai jenis minuman dan makanan seperti kebab citarasa dari negara Maghribi dengan harga yang berpatutan.

"The Red Warriors Stations@KTC merupakan satu tempat yang sesuai untuk pelbagai lapisan peringkat umut mahupun keluarga bersantai sambil menonton perlawanan bola sepak melalui skrin besar disini,” katanya.

The Red Warriors Stations@KTC dilengkapi ruang yang luas dan berhawa dingin disamping turut dilengkapi kemudahan empat unit televisyen LCD bersaiz besar. Skrin besar turut dipasang bagi memudahkan peminat bola sepak menonton sebarang perlawanan bola sepak termasuklah kejohanan Piala Dunia yang akan berlangsung tidak lama lagi. 

KAFA KESAL GEJALA TIKET PALSU KEMBALI MENULAR

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kesal dengan penularan gejala ulat tiket dan tiket palsu yang kembali berleluasa sewaktu berlangsung perlawanan Liga Super membabitkan Kelantan menentang Terengganu tempohari.  
  
Setiausaha Agung Kafa, Mohammad Noordin Awang berkata, pihak Kafa berasa dukacita setelah gejala ini kembali menular dan akan menjalankan siasatan dengan segera.  
 
“Kita menyedari sebelum ini gejala ulat tiket sudah berkurangan, tetapi pada perlawanan dengan Terengganu tempohari, mereka (ulat tiket) ini kembali bermaharajalela mengambil kesempatan menjual tiket dengan harga yang tidak masuk akal,” ” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.  
 
Menurut Mohammad Noordin Awang, pihak Kafa sebelum ini telah menetapkan syarat setiap orang hanya boleh membeli empat keping tiket sahaja.  
 
“Inilah masalahnya, ulat tiket terlalu ramai, mereka (ulat tiket) akan berpakat dan  beratur secara bergilir-gilir bagi membeli tiket sebanyak yang mungkin. Sebagai contohnya, tiket tempat duduk berbumbung sememangnya terhad kepada seribu tempat duduk sahaja, dan apabila kita mula menjual tiket itu, dalam masa tidak sampai dua jam  tiket itu habis dijual,” katanya.  
 
Ditanya mengenai dakwaan pembabitan orang dalam, Mohammad Noordin berkata, pihak Kafa memandang serius dakwaan itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang bersekongkol dalam gejala ini.  
 
“Pihak Kafa akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan masalah dan seterusnya mengambil langkah pencegahan bagi memastikan ianya tidak lagi berulang. Memang benar kita ada satu jawatankuasa yang memantau daripada segi penjualan tiket itu, tetapi kita tidak menekankan tentang aspek itu. Mungkin itu kelemahan daripada pihak Kafa dan kita akan perbaiki kelemahan itu, “ katanya. 
 
Mengulas mengenai isu tiket palsu, Mohammad Noordin berkata, pihak Kafa mungkin akan mengkaji semula waktu penjualan tiket perlawanan bagi mengelakkan perkara itu daripada berulang.   
 
“Kita menjual tiket perlawanan bermula jam 10 pagi pada hari perlawanan bagi membolehkan peminat mendapatkan tiket tersebut lebih awal. Walaubagaimanapun, disebalik kita membuka kaunter jualan tiket pada awal pagi, masih ada lagi individu yang mengambil kesempatan mencetak tiket palsu. Mungkin kita terpaksa jual tiket perlawanan pada sebelah petang selepas ini,” katanya.  
 
Mohammad Noordin berkata, ratusan tiket palsu telah berjaya dikesan oleh pihak Kafa pada perlawanan Kelantan menentang Terengganu tempohari.   
 
“Jumlah kerugian masih belum dapat ditaksirkan. Walaubagaimanapun, dari satu sudut pihak Kafa tetap dilihat mengalami kerugian yang tidak sepatutnya mereka tanggung.  
 
"Saya mengharapkan kerjasama daripada orang ramai khususnya peminat bola sepak Kelantan, tolong laporkan kepada pihak Kafa atau pihak berkuasa dengan segera sekiranya mereka melihat gejala ini berlaku lagi di masa akan datang.", katanya.

Tuesday, May 18, 2010

Ulat tiket, tiket palsu kembali berleluasa


KOTA BHARU – Tak serik-serik lagi! Gejala ulat tiket kembali berleluasa. Begitulah senario yang dapat dilihat di perkarangan Stadium Sultan Muhammed Ke-IV menjelang perlawanan Liga Super, Kelantan menentang Terengganu pada hari Sabtu lalu.

Bukan isu baru bahkan telah berlarutan sejak sekian lama. Apabila melibatkan perlawanan berprestasi tinggi seperti perlawanan menentang Terengganu, maka ulat tiket tersebut muncul kembali ‘cari makan’ dalam masa yang singkat dengan mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda.

Seolah-olah undang-undang dan penguatkuasaan hanya tertulis diatas kertas, ulat tiket itu sudah besar kepala dan ‘makan besar’ tanpa memikirkan kepentingan orang ramai khususnya peminat bola sepak Kelantan. Yang mereka tahu, keuntungan sepuluh – dua ringgit atas alasan hendak cari makan.

Difahamkan, tiket tempat duduk berbumbung yang berharga RM25 telah dijual dengan harga sekitar RM35-RM40. Tidak masuk akal dibuatnya. Bukan perlawanan akhir pun pertemuan Kelantan dengan Terengganu tempohari. Sekadar perlawanan liga walaupun dipenuhi hampir 25 ribu orang penonton.

Kesannya, peminat bola sepak Kelantan yang terdesak untuk mendapatkan tiket itu tidak mempunyai pilihan selain terpaksa membeli tiket dengan ulat tersebut. Pastinya itu sesuatu yang membebankan lebih-lebih lagi kepada peminat yang tinggal jauh dari Kota Bharu.

Seorang peminat bola sepak Kelantan yang enggan dikenali mendakwa, gejala ulat tiket itu sebenarnya kembali berleluasa pada perlawanan menentang Selangor pada 12 Mac lalu.

Menurutnya, pihak Kafa dilihat gagal mengambil tindakan sewajarnya membanteras gejala ini sedangkan ianya sudah lama berlarutan.

“Kegagalan pihak Kafa mengambil tindakan sewajarnya mungkin mengundang persepsi peminat bahawa pihak mereka membenarkan perbuatan itu. Sedangkan saya percaya pihak Kafa mungkin tidak menyedari gejala itu kembali berulang,” katanya.

Saffuan Ibrahim, 32 tahun berkata, beliau percaya pembabitan orang dalam khususnya yang menjual tiket menjadi punca mengapa perkara itu masih berlarutan sehingga kini.

“Pasti ada hubungan diantara orang dalam dengan ulat tiket tersebut, kalau tidak masakan perkara ini masih berlaku. Saya berharap pihak Kafa mengambil tindakan tegas membanteras masalah ini, “katanya.

Mohd Faiz Suhaimi, 23 tahun pula berkata, beliau berharap gejala ulat tiket itu tidak lagi berulang kembali pada masa akan datang.

“Gejala seperti inilah yang membunuh minat penyokong bola sepak Kelantan untuk datang ke stadium. Kita selaku peminat yang cintakan bola sepak Kelantan harus sama membantu pihak Kafa membanteras gejala ini dengan melaporkan kepada pihak berkuasa, “ katanya.

Tidak cukup dengan gejala ulat tiket, timbul pula isu tiket palsu yang kembali menghantui pihak Kafa. Difahamkan, pada perlawanan Liga Super menentang Terengganu tempohari, pihak Kafa telah berjaya mengesan ratusan tiket palsu.

Dua masalah yang cukup serius itu, dan perlu ditangani dengan sebaik-baiknya oleh pihak Kafa.

Daripada segi angka, mungkin jumlah tiket palsu itu cukup sedikit berbanding dengan jumlah kehadiran penonton yang mencecah puluhan ribu pada malam tersebut, tetapi pihak Kafa tetap mengalami kerugian yang tidak sepatutnya.

Pastinya kerugian bakal memihak kepada pihak Kafa jika perkara ini masih berterusan pada masa akan datang. Amat malang bagi senario bola sepak Kelantan, disaat prestasi The Red Warriors kian memuncak, masih ada lagi individu tertentu yang menangguk di air yang keruh.

Golongan ini mungkin tidak mengerti mengenai kemeriahan bola sepak Kelantan, sebaliknya yang mereka tahu hanyalah mencari sedikit kesenangan melalui cara yang salah.

Perilaku mereka yang tidak bertanggungjawab ini sebenarnya telah merosakan imej bola sepak Kelantan.

PBJ Bachok juara Piala Kijang Muda


KOTA BHARU – Pasukan PBJ Bachok muncul juara kejohanan Piala Kijang Muda 2010 setelah mengalahkan PBJ Tumpat menerusi penentuan tendangan penalti  6-5 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam semalam.

Penentuan juara diputuskan menerusi tendangan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 pada waktu permainan yang sebenar. 

Pasukan PBJ Bachok meraikan kejayaan muncul
juara Kejohanan Piala Kijang Muda 2010

Seawal minit ketujuh, memperlihatkan kemampuan PBJ Bachok untuk berusaha mencari gol pertama apabila sepakan percuma ketua pasukannya, Ahmad Aqmal Razmi terkena palang gol PBJ Tumpat.

Selang dua minit kemudian, PBJ Bachok memperolehi gol pertama apabila sepakan percuma Mohd Fadhli Jusoh tepat menerjah jaring menewaskan Muhd Syazwan Yusoff.

Walaupun PBJ Tumpat dilihat lebih menguasai perlawanan, tetapi ketumpulan jentera serangan mereka untuk menjaringkan gol menyaksikan keputusan 1-0 kekal sejurus separuh masa pertama berakhir.

Bersambung babak kedua, PBJ Bachok terus mengukuhkan kedudukan menjadikan keputusan 2-0 apabila penyerang, Mohd Fadhli Jusoh mudah merembat masuk menewaskan Muhd Syazwan Yusoff daripada jarak dekat setelah berjaya melepasi halangan dua pemain pertahanan PBJ Tumpat.

PBJ Tumpat berjaya merapatkan jurang gol, tiga minit kemudian menerusi sepakan percuma Mohd Syawal Rudin.

Ketika perlawanan menghampiri minit-minit akhir untuk ditamatkan, pemain PBJ Tumpat, Shahrir Abdul Rahman menghukum kesilapan penjaga gol Bachok yang gagal menangkap  kemas dengan merembat kencang menjadikan kedudukan terikat seri 2-2.

Penentuan juara menerusi tendangan penalti menyaksikan PBJ Bachok menang dengan keputusan 6-5.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang kejohanan sejurus perlawanan berakhir.

Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir itu, ialah Naib Presiden Kafa, Datuk Affandi Hamzah dan Rosmadi Ismail.

PBJ Bachok selaku juara Piala Kijang Muda edisi 2010 meraih hadiah piala pusingan dan wang tunai RM5,000 manakala PBJ Tumpat sebagai naib juara meraih RM3,000.

Dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir, PBJ Kota Bharu dan PBJ Jeli masing-masing menerima RM1,000.

Sementara itu, pemain PBJ Tumpat, Mohd Syawal Rudin diumumkan pemain terbaik perlawanan akhir itu.

Kesebelasan utama pemain :

PBJ Bachok : Mohd Nor Adli Mudin, Awis Qaryani Mohd Azam, Ahmad Aqmal Razmi (KP), Muhd Yusri Abd. Rahman, Mohamad Nor Aliff, Faqih Ikhwan Md Fauzi, Norizham Fahamin (Ahmad Hafeez Md Noor), Mohamad Hasbi Husain, Mohd Khairul Iman (Muhd Asyraf Muhamad), Mohd Hilmi Noradin, dan Mohd Fadhli Jusoh.

PBJ Tumpat : Muhd Syazwan Yusoff, Mohd Zulhafizuddin, Zulhilmi Ishak (Khairul Anuar Balah), Md Noraiman Talib (KP), Md Adli Md Yusof (Amirul Iman Abd Aziz), Mohd Syawal Rudin, Muhd Azmi Hamzah, Mohd Shahrizal Hassan, Mohd Suzairi Md Rozi (Mohamad Shaymimie), Shahrir Abdul Rahman dan Muhamad Haniff Zahidi.

Kafa sokong Sultan Ahmad terajui FAM

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengambil pendirian terus memberi sokongan kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah untuk memimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sempena kongres FAM yang akan berlangsung pada bulan Julai nanti.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendirian itu diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Kafa yang diadakan dua hari lalu.

Tan Sri Annuar Musa

“Kafa dalam mesyuarat ahli majlisnya, sebulat suara memutuskan untuk mencalonkan semula Tuanku Sultan Pahang untuk terus memimpin FAM bagi penggal akan datang, “ katanya pada sidang akhbar kelmarin.

Annuar berkata, dalam mesyuarat itu juga, pihak Kafa telah mengemukakan beberapa cadangan yang akan dibawa untuk perhatian pihak FAM semasa kongres itu berlangsung.

Antaranya, pihak Kafa mencadangkan supaya bermula musim depan, pemain import dibenarkan dibenarkan beraksi dalam liga tempatan.

“Agak janggal bagi liga kita apabila pemain import tidak dibenarkan beraksi, sedangkan hampir kesemua negara rantau Asean membenarkan pemain import beraksi dalam liga di negara masing-masing.

“Langkah tidak membenarkan pemain import beraksi bukan bermakna tidak membawa keuntungan kepada kita. Sebaliknya, kita harus melihat daripada sudut positif macam mana kemampuan untuk kita beraksi dalam kejohanan peringkat Asia seperti kejohanan Piala AFC sekiranya tanpa kehadiran pemain import,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Annuar berkata, pihak Kafa turut membuat ketetapan bahawa sebarang bentuk perjudian tidak harus dikaitkan dengan sukan bola sepak.

“Mengapa perlu perjudian diluluskan, sedangkan syarikat rokok sendiri diharamkan untuk menaja bola sepak di negara kita. Kita khuatir bookie akan berusaha untuk mempengaruhi pemain membuat percaturan dalam liga kita pula.

Sementara itu, Annuar berkata, pihak Kafa turut mencadangkan Liga Malaysia dijenamakan semula sebagai satu liga yang lebih menarik pada musim akan datang.

“Adalah penting untuk kita menarik semula sokongan peminat tempatan untuk kembali menonton bola sepak di stadium. Kelantan sebenarnya telah melakukan transformasi ini. Semua pasukan berminat untuk bermain dengan Kelantan di gelanggang mereka kerana mereka tahu, apabila bertemu Kelantan, maka kutipan tiket mereka pasti tinggi sebagaimana pertemuan dengan KL Plus baru-baru ini, “katanya.

Monday, May 17, 2010

KELANTAN BERHAK MENANG : SATHIANATHAN


Indra Putra Mahayuddin berusaha melepasi kepungan tiga pemain Terengganu

KOTA BHARU – Tiada ungkapan yang mampu diluahkan oleh pengendali Kelantan, B Sathianathan selain daripada perasaan gembira rentetan kemenangan 3-0 ke atas musuh tradisi, Terengganu pada perlawanan Liga Super malam semalam.

B Sathianathan berkata, persembahan pasukan Kelantan diawal permainan agak kurang memberangsangkan, tetapi kebangkitan anak buah menghasilkan tiga gol dalam tempoh sepuluh minit membunuh semangat juang pasukan lawan.

“Ramai peminat menjangkakan perlawanan menentang musuh tradisi itu cukup sengit, mungkin itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pemain saya untuk mencipta kemenangan, “ katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

“Apabila kita memperolehi gol pertama, barulah pemain kita berupaya menyerap tekanan dan mampu menguasai perlawanan.

Menurut Sathianathan, Kelantan mempunyai banyak peluang pada separuh masa kedua untuk menambahkan koleksi jaringan.

“Berbanding separuh masa pertama, kita sebenarnya mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol walaupun pasukan pelawat dilihat sentiasa melancarkan serangan ke kubu.

“Aksi separuh masa kedua menampakkan peningkatan walaupun kita tidak berupaya menambahkan jaringan. Anda dapat lihat kita sebenarnya mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.

Sathianathan turut menegaskan mungkin faktor kepenatan akibat mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh sepuluh hari menjadi punca mengapa aksi pemain Kelantan sedikit sumbang pada perlawanan itu.

“Apa yang penting, kita berhak menang pada perlawanan ini dan terus memberi tekanan kepada pendahulu liga, Selangor,” katanya.

Karnival TRW dekati masyarakat Kelantan


KOTA BHARU – Karnival The Red Warriors (TRW) 2010 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Mei ini di perkarangan Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu dijangka dihadiri hampir 100 ribu pengunjung.

Karnival TRW 2010 dengan tema ‘Menjadi Medan Himpun Temu Berlandaskan Populariti Pasukan The Warriors’ merupakan cetusan idea Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa yang mahu merakyatkan sukan bola sepak khususnya  untuk penduduk di negeri Kelantan.

“Karnival ini antara lain bertujuan untuk menyatukan rakyat Kelantan yang cintakan bola sepak tanpa mengira fahaman dan pendekatan politik disamping menyemarakkan lagi sokongan padu terhadap pasukan The Red Warriors sempena Tahun Bola Sepak Kelantan (TBSK) 2010 tahun ini, “ katanya pada sidang akhbar petang semalam.

Annuar berkata, karnival yang julung kali diadakan pada penghujung bulan ini merupakan karnival yang pertama seumpama dianjurkan oleh persatuan bola sepak negeri di negara ini.

“Ini merupakan salah satu program yang diatur oleh pihak Kafa bagi mendekatkan pemain dengan masyarakat Kelantan. Sukan bola sepak bukan setakat hanya apabila ada perlawanan di stadium sahaja, kita mahu masyarakat menikmati pelbagai bentuk program berasaskan bola sepak seperti mana penganjuran karnival ini.

Menurut Annuar, peminat bola sepak Kelantan berpeluang beramah mesra dengan pemain bola sepak daripada Akademik Kafa, pemain skuad Piala Presiden sehingga kepada pemain Liga Super Kelantan.

Karnival yang akan bermula pada 28 Mei ini akan dirasmikan oleh Exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri Kelantan, YB Abdul Fatah Mahmood.

Antara pelbagai aktiviti yang akan berlangsung pada karnival itu ialah pertandingan futsal, pertandingan menimang bola, pertandingan bola sepak jalanan, persembahan dikir barat, persembahan kerohanian dengan artis jemputan Ramli Sarip, Mawi, Jay Jay dan kumpulan nasyid Unique.

Karnival ini turut diserikan dengan pelbagai gerai jualan produk sepanjang tiga hari berlangsung disamping kehadiran Dato’ Siti Nurhaliza bersama dengan produk kecantikan terbarunya, Simply Siti dan juga penampilan AC Mizal dengan di gerai jualannya.

Sunday, May 16, 2010

KUASA BARU GERGASI PANTAI TIMUR

KELANTAN 3
Mohd Marzuki Yusof (gol sendiri m-28)
Indra Putra Mahayuddin (m-30)
Norshahrul Idlan Talaha (pen m-36)

TERENGGANU 0

KOTA BHARU – Kelantan muncul sebagai kuasa baru Gergasi Pantai Timur setelah menewaskan musuh tradisi, Terengganu dengan kemenangan 2-0 pada perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.

Kemenangan ke atas pasukan jiran tetangga itu mengukuhkan kedudukan The Red Warriors di tangga kedua liga dengan mengumpul 35 mata setakat ini.

Beraksi dihadapan hampir 25,000  penyokong setia Merah Putih, jelas reputasi Kelantan berada setapak dihadapan apabila percubaan Mohd Norfarhan Muhammad pada minit ke-15 nyaris menghasilkan gol untuk Kelantan.

Minit ke-28, Kelantan memperolehi gol pertama apabila ketua pasukan Terengganu, Mohd Marzuki Yusoff tertolak bola ke gawang sendiri setelah berlaku kekalutan di depan pintu gol pasukan pelawat.

Selang dua minit kemudian, Kelantan memperolehi gol kedua apabila rembatan kencang ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin daripada luar kotak penalti berjaya menewaskan Mohd Sharbinee Allawee Ramli.
Ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin meraikan jaringan gol kedua
untuk Kelantan bersama Mohd Norfarhan Muhammad

Manakala percubaan pasukan Terengganu melalui Abdul Manaf Mamat pada minit ke-35 sekadar tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Minit ke-36, Kelantan dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil setelah Norshahrul Idlan Talaha dijatuhkan oleh penjaga gol Terengganu.

Norshahrul Idlan dengan tenang mudah menyempurnakan sepakan tersebut untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Norshahrul Idlan Talaha tidak menghadapi masalah menyempurnakan
sepakan penalti untuk menghasilkan gol ketiga Kelantan

Jaringan Abdul Manaf pada minit ke-40 dibatalkan oleh pengadil setelah dikesan berada didalam kedudukan ofsaid.

Minit-minit akhir perlawanan, percubaan jarak jauh S Chanturu sekadar mengenai tiang gol pasukan Terengganu biarpun  Mohd Sharbinee Allawee sudah pun tertewas.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat dilihat lebih menguasai perlawanan melalui rangkaian gandingan penyerang gantian, Josep Kalang Tie dan Wan Mohd Alif Wan Jasmi.

Minit ke-61, percubaan pemain tengah Terengganu, Mohamad Ashaari Shamsuddin pula terus ke dakapan Khairul Fahmi Che Mat.

Satu-satunya peluang terbaik Kelantan hadir pada minit ke-68 apabila percubaan kencang Mohd Norfarhan sedikit tersasar melepasi palang gol Terengganu.

Manakala percubaan half volley Mohd Firdaus Fauzi pada minit ke-81 dikuis keluar oleh Khairul Fahmi Che Mat menutup tirai kemenangan bergaya Kelantan ke atas Terengganu.

Sementara itu, ketua pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin diumumkan sebagai pemain terbaik pada perlawanan ini.

KESEBELASAN UTAMA PEMAIN :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Azizi Matt Rose, S Subramaniam, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham Ismail (Mohamad Zamri Ramli), Mohd Shakir Shaari (Wan Zaman Wan Mustapha), Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Norfarhan Muhammad, Muhd Badhri Radzi, S Chanturu (Hairuddin Omar), dan Norshahrul Idlan Talaha.

Formasi : 4-4-2

TERENGGANU : Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Mohd Marzuki Yusof (KP), Ronny Harun, Mohd Muhaimin Omar, Ahmad Nordin Alias, Tengku Hasbullah Raja Hassan, Mohd Zubir Mohd Amin, Zairo Anuar Zailani (Josep Kalang Tie), Abdul Manaf Mamat (Wan Mohamad Alif Wan Jasmi), Mohamad Ashaari Shamsuddin dan Mohd Firdaus Mohd Fauzi.

Formasi : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (3) Terengganu (3)
Percubaan tersasar : Kelantan (6) Terengganu (6)
Sepakan sudut : Kelantan (1) Terengganu (7)
Sepakan percuma : Kelantan (15) Terengganu (15)
Offsaid : Kelantan (2) Terengganu (6)
Kekasaran : Kelantan (13) Terengganu (13)
Kad kuning : Terengganu ( Tengku Hasbullah Raja Hassan)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Enam minit
Penguasaan bola : Kelantan ( 55%) Terengganu (45 %)

Thursday, May 13, 2010

KELANTAN RATAH JOHOR



KOTA BHARU – Kembali temui rentak kecemerlangan. Daripada hampir diaibkan oleh Pahang di Kuantan minggu lalu, Kelantan kembali bangkit mengutip tiga mata penting di Larkin. 

Pada perlawanan tunggal Liga Super malam kelmarin, Kelantan berjaya mengalahkan Johor 4-1 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

Pemain tengah kreatif, Muhd Badhri Radzi muncul wira Kelantan apabila menjaringkan dua gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-15 dan 44.

Sementara itu, ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin turut mengukir nama sebagai penjaring gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-32.

Gol sendiri pemain pertahanan tuan rumah, Radzi Jasman pada minit ke-77 akhirnya menutup ruang buat anak buah Eddress Selamat untuk melakar kejutan ke atas Kelantan.

Manakala gol tunggal pasukan tuan rumah telah dijaringkan oleh Rosaiful Nizam Omar pada minit ke-21.

Beraksi diatas padang yang becak, ternyata tidak menghalang pasukan bimbingan B Sathianathan untuk melakarkan kemenangan kesembilan daripada 15 perlawanan setakat ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan antara individu paling gembira di atas kejayaan The Red Warriors menundukkan pasukan selatan tanah air itu.

“Saya cukup gembira dengan kemenangan ini. Walaupun bermain dalam padang yang becak kerana hujan turun dengan lebat sebelum perlawanan, tetapi anak-anak buah saya tetap mempamerkan persembahan yang baik, “ katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

Sathianathan berkata, pujian seharusnya diberikan kepada barisan pemain Kelantan yang tidak patah semangat biarpun pada suatu ketika pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan.

“Semua pemain menunjukkan persembahan yang bagus. Saya tidak ada rungutan mengenai persembahan keseluruhan pemain Kelantan kerana mereka memberikan apa yang saya mahukan pada perlawanan itu.

“Mereka (pemain) mengambil iktibar daripada perlawanan di Kuantan minggu lalu. Semangat juang yang tinggi mereka bawa ke sini (Larkin) dan kita semenangnya berhak menang pada perlawanan ini.

“Walaubagaimanapun, saya percaya masih ada ruang untuk kita memantapkan persembahan pasukan sebelum menghadapi pasukan jiran tetangga, Terengganu hari Sabtu ini, “ katanya.

Sementara itu, B Sathianathan berkata, pemain pertahanan Zairul Fitree Ishak terpaksa dikeluarkan walaupun permainan baru berlangsung kerana mengalami kecederaan akibat dibentes pemain tuan rumah.

“Zairul Fitree (Ishak) mungkin tidak dapat diturunkan pada perlawanan dengan Terengganu. Kecederaan yang dialami oleh beliau agak teruk, tetapi kita tetap berharap semoga dia segera sembuh.

Agak menarik untuk diperkatakan, Kelantan merupakan satu-satunya pasukan yang tidak pernah tewas apabila bermain digelanggang luar setakat ini.

Kemenangan ini ternyata mengukuhkan kedudukan Kelantan ditangga kedua persada liga dengan mengumpul 32 mata walaupun telah bermain lebih satu perlawanan berbanding dengan pasukan yang lain.